Banteras mitos parasetamol

0
85



Walaupun diambil jutaan orang di seluruh dunia, terpapar pada laman web dan platform media sosial mengenai salah anggapan dan mitos mempertikaikan keselamatan dan keberkesanan parasetamol.

Maklumat itu menjejaskan tanggapan awam mengenai ubat pelega kesakitan dan demam yang dipercayai sejak dulu. Antara mitos berkenaan ialah parasetamol kekal dalam badan kita lebih 24 jam. Malah, ada juga maklumat tersebar menerusi media sosial mendakwa parasetamol boleh kekal dalam badan sehingga lima tahun selepas dimakan.

Presiden Persatuan Kajian Kesakitan Malaysia, Dr Mary Cardosa berkata, parasetamol adalah sejenis analgesik (lebih dikenali secara umum sebagai penahan sakit) dan boleh digunakan sebagai ubat ‘rawatan utama’ bagi kesakitan ringan hingga sederhana.

“Dengan penggunaan yang disyorkan, parasetamol jarang menimbulkan kesan negatif malah laporan mengenai kesan sampingan yang serius amat jarang didengar.

“Malangnya, artikel dan cerita mempertikaikan keselamatan parasetamol kian tersebar. Profesional kesihatan semakin khuatir maklumat yang salah ini boleh membawa kesan negatif kepada cara orang ramai menilai ubat yang sudah dipercayai seterusnya cara menguruskan kesihatan mereka.

“Oleh itu, mitos ini perlu dikenal pasti dan dibanteras segera untuk kebaikan umum,” kata Dr Mary kepada media pada taklimat menyanggah mitos dan fakta anjuran GlaxoSmithKline Consumer Healthcare Malaysia (GSK) di ibu negara, baru-baru ini.

Sebenarnya, parasetamol terurai secara menyeluruh dalam badan, dengan separuh hayat plasma (masa yang diambil bagi parasetamol dikurangkan sebanyak separuh dalam plasma darah) 1.5 hingga 2.5 jam.

Walaupun kadar parasetamol terurai bergantung pada usia dan dos, kajian mendapati apabila diambil mengikut dos yang disyorkan, parasetamol disingkir daripada badan dalam tempoh 24 jam bagi mereka yang sihat.

Pengarah Perubatan Kawasan-Asia Tenggara, Jepun & Korea, GSK Consumer Healthcare, Dr Thravin Nathan, pula menjelaskan sebagai syarikat penjagaan kesihatan pengguna terkemuka di Malaysia, pihaknya mempunyai tanggungjawab di samping menyediakan penyelesaian pelega kesakitan untuk memastikan pengguna diberi maklumat tepat berkaitan parasetamol

“Maklumat yang tepat secara saintifik dan berasaskan fakta untuk memastikan ia digunakan dengan sewajarnya. Kami berasa gembira bekerjasama dengan pakar tersohor yang berganding bahu bagi mencapi matlamat mendidik dan memperkasakan individu dari segi cara mereka menguruskan penyakit serta memberikan nasihat perubatan yang boleh dipercayai kepada masyarakat.

“GSK menyokong usaha kumpulan seperti MedTweetMY dan Medical Mythbusters Malaysia yang menggunakan pelbagai platform media sosial untuk mendidik rakyat Malaysia dan membenteras mitos perubatan,” katanya.

Sementara itu, pengerusi dan pengasas MedTweetMY, Dr Khairul Hafidz berkata, MedTweetMY adalah wadah untuk memuat naik maklumat perubatan yang boleh dipercayai dan mudah diakses menerusi media sosial untuk rakyat Malaysia.

“Kami lihat makin ramai individu yang mendapatkan nasihat perubatan menerusi Internet. Bagi kami, amat penting menyediakan sumber bagi masyarakat Malaysia yang tidak sahaja memberikan maklumat perubatan tepat secara saintifik, juga membanteras mitos perubatan yang tular menerusi laman web.

“Kami harap usaha ini memainkan peranan penting untuk membantu rakyat Malaysia mendapatkan maklumat dan membuat keputusan tepat mengenai ubat kerana kurang faham atau maklumat yang tidak tepat boleh menyebabkan kesan negatif pada kesihatan mereka.

“Kami juga menggalakkan rakyat Malaysia menyemak sumber maklumat sebelum berkongsi dengan orang lain kerana tindakan mereka boleh mengelirukan orang ramai dan membuat keputusan yang kurang tepat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here