Beku sel lemak degil

0
76



Seseorang cenderung menghidap sindrom metabolik jika dia mengalami kegemukan abdomen iaitu lebihan lemak di sekeliling perut dan abdomen serta diikuti dua lagi daripada mana-mana empat faktor risiko.

Empat faktor risiko itu ialah menghidap tekanan darah tinggi, kenaikan kadar gula dalam darah, kenaikan tahap trigliserida (TG) atau lemak dalam darah dan mengalami pengurangan lemak baik atau kolesterol lipoprotein berdensiti tinggi (HDL) dalam darah.

Walaupun ramai mengalami sindrom metabolik tetapi kebanyakan mereka tidak tahu mengenainya. Apapun, sindrom metabolik boleh dikawal sebahagian besarnya dengan mengubah gaya hidup. Ini kerana, kegemukan yang menjadi punca gangguan metabolisme disebabkan pengambilan makanan tidak seimbang dan kurang melakukan aktiviti fizikal yang mengeluarkan peluh seperti senaman dan bersukan.

Pakar mendakwa sindrom metabolik menjadi lazim disebabkan kenaikan kadar penghidap obesiti atau berat badan berlebihan terutama kegemukan abdomen iaitu lebihan lemak pada kawasan perut berbanding tempat lain di badan.

Namun, menyingkirkan lebihan lemak yang terkumpul dan menebal di sekitar perut dan pinggang serta bahagian lain seperti bawah lengan dan paha bukan sesuatu yang mudah dan kadangkala boleh mendatangkan kekecewaan. Ini kerana, kebanyakan kita masih menghadapi masalah membuang lemak biarpun melakukan pelbagai jenis senaman sama ada ringan atau berat termasuk mengawal pemakanan.

Masalah sukar menyingkirkan lebihan lemak yang degil walaupun pelbagai usaha dilakukan itu juga secara tidak langsung memberikan tekanan kepada mereka kerana pada masa sama bonjolan lemak turut mempengaruhi penampilan sehingga menjejaskan keyakinan diri.

Pakar perubatan estetik Esadsa House, Dr Melissa Liaw Sook Mei berkata, dalam kes sedemikian ramai yang memilih proses sedut lemak (liposuction) bagi mendapatkan berat dan bentuk badan idaman serta membolehkan mereka menjadi lebih sihat kerana lemak yang menjadi beban kepada tubuh sudah dibuang.

Rawatan sedut lemak adalah teknik paling popular dalam pembedahan plastik dan rekonstruktif bagi membantu mendapatkan tubuh yang langsing menerusi pembuangan mendapan lemak di kawasan sasaran pada badan.

“Bagaimanapun, rawatan sedut lemak hanya boleh dilakukan di premis berlesen dan mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan iaitu doktor yang bertauliah dalam pembedahan plastik dan rekonstruktif, manakala peralatan dan ubatan yang digunakan juga diluluskan Kementerian Kesihatan.

“Rawatan sedut lemak adalah dalam kategori pembedahan, oleh itu ciri-ciri keselamatan amat dititikberatkan kerana ia membabitkan komplikasi yang boleh mengancam nyawa. Seperti juga pembedahan lain, mereka yang melakukan rawatan sedut lemak berdepan komplikasi seperti jangkitan, pendarahan dan reaksi alahan terhadap ubat bius.

“Tempoh penyembuhan selepas rawatan sedut lemak juga lebih lama menyebabkan mereka yang menjalaninya terpaksa bercuti panjang dan menanggung kesakitan. Risiko komplikasi lain seperti perubahan pada struktur kulit apabila permukaan kulit tidak lagi sekata akibat bahagian bawah kulit berparut, “katanya.

Katanya, adalah penting untuk individu yang berhasrat mendapatkan rawatan sedemikian supaya memilih premis yang selamat, di samping memahami terlebih dahulu prosedurnya dan keupayaan diri untuk melakukan pembedahan terbabit berikutan ia tidak digalakkan untuk mereka yang mempunyai masalah kesihatan dan sudah lanjut usia.

“Seiring dengan perkembangan teknologi dalam bidang ini, kini sudah ada alternatif lain bagi proses membuang lemak tanpa pembedahan iaitu cryolipolysis. Teknik ini mengaplikasi teknologi pembekuan canggih apabila menggunakan suhu sejuk untuk membekukan sel lemak yang degil tanpa menjejaskan tisu di sekelilingnya.

“Sebaik sel lemak membeku, proses pemecahan (apoptosis) akan memusnahkan sel lemak terbabit dan tubuh akan menyingkirkannya secara semula jadi menerusi sistem limfatik seterusnya mengurangkan ketebalan lapisan lemak serta memberi kesan pengurangan ketara.

“Cryolipolysis juga hanya membekukan lemak berlebihan pada bahagian sasaran tanpa menjejaskan tisu kulit di bahagian permukaan. Bagi melakukan rawatan ini, doktor akan mengalas bahagian tubuh berlemak yang disasarkan dengan panel penyejuk seperti kepingan gel sebelum menggunakan alat untuk membekukan lemak,” katanya.

Dr Melissa berkata, disebabkan cryolipolysis bukan pembedahan mereka yang menjalani rawatan ini boleh berbaring santai sambil membaca, menonton mahupun tidur sementara mesin astetik menjalankan tugasnya dalam tempoh 60 minit.

“Rawatan ini juga tiada komplikasi yang serius, sebaliknya mungkin mendatangkan ketidakselesaan seperti bahagian yang disasarkan mengalami sedikit bengkak, lebam, kemerahan serta rasa pedih tetapi ia bersifat sementara kesan daripada proses pembekuan.

“Selepas rawatan, pelanggan boleh terus pulang ke rumah dan melakukan aktiviti rutin seperti biasa atau kembali bekerja. Kebanyakan pelanggan saya sudah mampu mengenakan semula pakaian lama yang bersaiz kecil dan mereka semakin selesa dengan bentuk tubuh lebih ramping selepas rawatan.

“Namun, bagi menjalankan rawatan cryolipolysis juga perlu selektif kerana ia tidak sesuai untuk orang yang berbadan terlalu gemuk, sebaliknya ia amat disyorkan kepada mereka yang ingin kurangkan lemak di kawasan tertentu selepas gagal menyingkirkannya walaupun sudah berdiet dan bersenam,” katanya.

Beliau berkata, rawatan membuang lemak dengan cryolipolysis juga akan mendapat hasil lebih ketara apabila dilakukan bersama terapi gelombang kejutan.

“Terapi ini yang dikenakan di kawasan sasaran selepas pembekuan memusnahkan pautan antara sel lemak sekali gus membantu mempercepatkan lagi proses penyingkiran menerusi sistem limfatik secara semula jadi.

“Prosedur ini pada masa sama meningkatkan metabolisme sel kulit dan merangsang pengeluaran kolagen yang mempengaruhi keanjalan kulit yang diperlukan untuk membentuk semula tubuh selepas pembuangan lemak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here