Ibu hamil paling berisiko

0
32



Golongan wanita usah ambil mudah apabila anda mendapati simptom seperti kenaikan berat badan mendadak, sembelit kronik, aras kolesterol meningkat serta trigliserida dalam darah. Ia mungkin petanda awal anda mendapat hipotiroidisme. Hipotiroidisme adalah keadaan di mana kelenjar tiroid menjadi kurang aktif.

Pengeluaran hormon tiroid akan berkurangan mengakibatkan fungsi badan menjadi perlahan. Penyakit ini dua kali ganda lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki. Tidak ketinggalan, wanita hamil turut berisiko menghidap hipotiroidisme.

Pengerusi program Transform Your Life, Prof Dr Nor Azmi Kamaruddin berkata tiroid adalah sejenis kelenjar kecil berbentuk seperti rama-rama yang terletak di pangkal tekak.

“Tiroid merembeskan hormon yang mengawal metabolisme serta mempengaruhi pelbagai fungsi tubuh. Hipotiroidisme berlaku apabila tiroid tidak dapat menghasilkan hormon tiroid yang mencukupi untuk memenuhi keperluan tubuh.

“Ibu hamil terutamanya berdepan risiko hipotiroidisme kerana ia adalah penyakit tiroid yang paling lazim berlaku ketika hamil. Malangnya simptom hipotiroidisme mungkin diabaikan dan dianggap sebagai kesan sampingan daripada kehamilan menyebabkan penyakit ini tidak dikesan,” katanya ketika ditemui pada Kempen Bebaskan Diri Dari Hipotiroidisme di ibu kota baru-baru ini.

Menurut beliau apabila wanita hamil menghidap hipotiroidisme tidak dirawat di peringkat awal, ia akan membahayakan nyawa ibu dan bayi.

“Ibu yang hamil mungkin mengalami tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi serta kenaikan berat badan berlebihan. Bayi pula akan mengalami masalah pembelajaran serta perkembangan. Hipotiroidisme ketika hamil tidak sepatutnya diambil ringan,” katanya.

Jelasnya, sesetengah wanita mempunyai kelenjar tiroid yang berfungsi dengan normal mungkin mengalami tiroiditis selepas bersalin (PPT) dalam masa setahun selepas bersalin.

“PTT merujuk kepada serangan pada kelenjar tiroid. Malangnya ia sukar dikenal pasti kerana kemurungan disebabkan sering menganggap akibat tekanan menjaga bayi baru lahir atau ‘postpartum mood’. Wanita dengan PTT yang tidak dirawat menghadapi risiko lebih tinggi untuk mendapat hipotiroidisme kekal dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya.

Selain wanita hamil, warga emas berusia 60 tahun ke atas turut terdedah kepada penyakit ini yang meningkatkan risiko penyakit jantung iskemik dan kegagalan jantung.

Ia juga mengakibatkan kelemahan otot, kemerosotan memori, percakapan serta pemikiran menjadi lambat di samping meningkatkan risiko mendapat penyakit Alzheimer.

“Malangnya hipotiroidisme sukar dikesan dalam kalangan warga emas kerana simptom lazim seperti sembelit kronik, kenaikan berat badan mendadak dan sering berasa sejuk dianggap sebagai tanda penuaan. Kewujudan beberapa penyakit kronik serta kesan sampingan ubat-ubatan turut ‘menyembunyikan’ lagi simptom hipotiroidisme.

“Saya menyarankan wanita yang mempunyai simptom seperti di atas segera membuat pemeriksaan serta menjalani rawatan bagi membebaskan diri daripada hipotiroidisme,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Dr Zanariah Hussein pula menjelaskan tahun ini pihaknya membuat keputusan menumpukan usaha kepada wanita sepenuhnya kerana penyakit ini lazimnya berlaku dalam kalangan golongan itu berbanding lelaki.

“Kempen ini akan menampilkan sebuah video dalam talian, poster klinik serta buku informasi kecil. Kami berharap ia dapat membantu wanita mengenal pasti tanda serta simptom ringan hingga teruk bagi penyakit hipotiroidisme.

“Pesakit mungkin hanya perlu menjalani pemeriksaan darah yang ringkas serta mengambil pil tiroksina (sejenis hormon tiroid sintetik) untuk mengubah hidup mereka menjadi lebih baik.

“Lebih menggembirakan apabila Kementerian Kesihatan membolehkan kami membantu dan mendekati lebih ramai wanita melalui rangkaian klinik serta hospital,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Azman Abu Bakar serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Merck Malaysia, Ee Boon Huey.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here