Insiden dilempang Chris Brown dipersenda, Rihanna gesa peminat buang Snapchat

0
60
Advertisement

LOS ANGELES: Bintang pop Rihanna pada Khamis mendesak peminatnya memadamkan Snapchat selepas aplikasi media sosial itu menyiarkan iklan yang mempersenda kes kekerasan yang dilakukan bekas kekasihnya Chris Brown pada tahun 2009.

Gara-gara Rihanna tegas bersuara tentang hal tersebut, saham Snap Inc, iaitu syarikat yang mencipta aplikasi berkenaan, jatuh 4.7 peratus dalam dagangan pada Khamis.

“Snapchat, saya tahu anda bukan aplikasi kegemaran saya. Namun saya cuma mahu menilai semula, apa puncanya semua ini terjadi!

“Anda membelanjakan wang untuk menganimasikan sesuatu yang sengaja membawa aib kepada mangsa-mangsa keganasan domestik, dan anda berjenaka mengenainya!

“Anda memalukan. Buang saja aplikasi dan maaf anda!” kata penyanyi itu dalam akaun Instagramnya.

Penyanyi Wild Thoughts berusia 30 tahun itu mengetengahkan perkara berkenaan selepas Snapchat pada awal minggu ini meminta maaf dan menarik balik iklan di platformnya yang mempromosi permainan video mudah alih berjudul “Would You Rather!”.

Iklan itu menunjukkan gambar-gambar Rihanna dan Brown bersama kapsyen “Slap Rihanna’” (Lempang Rihanna) dan “Punch Chris Brown” (Tumbuk Chris Brown). Kedua-dua iklan dan permainan itu tiada kaitan dengan Snapchat.

Brown yang merupakan penyanyi R&B mengaku bersalah menyerang Rihanna pada 2009 dalam satu insiden yang menggemparkan dunia apabila wajah Rihanna yang lebam dan bengkak tersebar.

Snapchat pada Khamis berkata iklan itu ‘menjelikkan’ dan tidak sepatutnya tersiar atas platform perkhidmatan mereka.

“Kami minta maaf atas kesilapan besar hingga ia terlepas dari proses penilaian kami. Kami sedang menyiasat perkara itu dan memastikan ia tidak akan berlaku lagi,” ujar syarikat itu dalam satu kenyataan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here