Kian ramai warga tua didera

0
28



Seorang daripada enam warga tua dikatakan mengalami penderaan dalam pelbagai bentuk, dan nisbah ini adalah lebih tinggi berbanding anggaran terdahulu, malah dijangka meningkat dalam populasi tua di seluruh dunia.

Melalui kajian terbaru yang disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan diterbitkan dalam Lancet Global Health mendapati kira-kira 16 peratus warga tua berusia lebih 60 tahun mengalami penderaan psikologi sebanyak 11.6 peratus, penderaan kewangan (6.8 peratus), pengabaian (4.2 peratus), penderaan jasmani (2.6 peratus) dan penderaan seksual (0.9 peratus).

Penyelidikan dalam kajian ini mengambil bahan bukti daripada 52 kajian di 28 negara dari pelbagai wilayah termasuk 12 negara berpendapatan sederhana dan rendah.

Penderaan warga tua didefinisikan sebagai tindakan atau kurang tindakan wajar yang menyebabkan bahaya atau kesengsaraan kepada indvidu berusia lanjut yang terjadi dalam sebarang perhubungan yang berdasarkan kepercayaan. Semua jenis penderaan warga tua boleh mendatangkan impak terhadap kesihatan dan kesejahteraan mereka.

Bagi penderaan psikologi, ia paling meluas berlaku termasuk tingkah laku yang membahayakan harga diri warga tua itu seperti panggilan nama kurang elok, perlakuan menakut-nakutkan, tindakan memalukan, memusnahkan harta benda atau menghalang mereka bertemu rakan atau ahli keluarga.

Penderaan kewangan pula meliputi penyalahgunaan wang, harta atau aset seseorang warga tua secara haram. Mengabaikan atau gagal memenuhi keperluan asas mereka seperti makanan, tempat tinggal, pakaian dan penjagaan perubatan.

Penasihat Kesihatan Kanan, Jabatan Penuaan dan Kesejahteraan Hidup WHO, Alana Officer berkata, kesedaran mengenai penderaan warga tua sebahagian besarnya masih dianggap perkara yang dilarang untuk dibicarakan di mana-mana negara.

“Penderaan terhadap warga tua makin meningkat dan bagi 141 juta warga tua seluruh dunia, ini adalah beban serius bukan saja individu malah masyarakat. Kita perlu berusaha gigih mencegahnya dan bertindak terhadap peningkatan jumlah pelbagai bentuk penderaan ini.

“Kesan penderaan terhadap kesihatan termasuk kecederaan trauma dan kesakitan, malah mangsa turut berdepan kemurungan, tekanan dan kebimbangan. Penderaan warga tua juga boleh membawa ke peningkatan risiko menempatkan mereka di rumah kebajikan, penggunaan perkhidmatan kecemasan, hospital dan kematian.

“Selain jumlah kes dan akibat kesihatan yang serius, penderaan warga tua kekal sebagai satu daripada jenis keganasan yang paling kurang disiasat dalam tinjauan kebangsaan. Ia juga paling kurang dibangkitkan dalam pelan negara bagi mencegah keganasan,” katanya.

Katanya, menjelang 2050 bilangan individu berusia 60 tahun ke atas akan berganda untuk mencapai dua bilion orang di seluruh dunia dengan sebahagian besarnya menghuni di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Sekiranya bilangan mangsa penderaan warga tua tetap berterusan, jumlah individu yang terkesan akan meningkat dengan pesat kepada 320 juta mangsa pada 2050 disebabkan oleh populasi tua yang bertambah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengurusan Penyakit Tidak Berjangkit, Ketidakupayaan, Keganasan dan Pencegahan Kecderaan WHO, Dr Etienne Krug berkata, penderaan warga tua sememangnya jarang dibincangkan dalam polisi sedangkan kerajaan mesti melindungi semua penduduknya daripada keganasan.

“Kita mesti berusaha untuk memberi penerangan mengenai cabaran masyarakat yang penting ini, memahami cara terbaik untuk menghalangnya dan membantu melaksanakan langkah-langkah yang diperlukan.

“Pada Mei 2016, Menteri Kesihatan mengguna pakai Strategi Global dan Pelan Tindakan Terhadap Penuaan dan Kesihatan di Perhimpunan Kesihatan Sedunia. Strategi ini menyediakan panduan untuk tindakan yang diselaraskan di negara-negara supaya sejajar dengan matlamat pembangunan mampan yang digariskan WHO,” katanya.

Katanya, dalam strategi berkenaan tindakan utama dijalankan termasuk meningkatkan kajian mengenai kekerapan penderaan warga tua terutamanya di negara berpendapatan rendah dan sederhana di Asia Tenggara, Asia Barat dan Afrika yang ketika ini tidak banyak maklumat mengenainya.

“Mengumpul bukti dan menggariskan panduan dalam usaha yang memberi pencegahan berkesan dan bertindak terhadap aduan penderaan warga tua. Sebagai langkah pertama, kerajaan perlu menilai usaha sedia ada seperti latihan kepada penjaga, penggunaan talian bantuan dan menerbitkan kajian diperoleh.

“Kerajaan juga mesti menyokong negara lain untuk mencegah penderaan warga tua dan melakukan tindakan yang sewajarnya dalam usaha berkenaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here