Kongres Budaya 2017 Dan Rukunegara

0
114



DUA daripada 11 resolusi yang diterima oleh Kongres Budaya 2017 merujuk kepada Rukunegara. Resolusi ketiga berbunyi, “ Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Bahasa Kebangsaan difahami dan dimuliakan” manakala Resolusi keempat menyatakan, “Rukunegara dan kenegaraan diteraskan melalui kuasa perundangan.” Antara dua resolusi ini, resolusi keempat adalah yang amat signifikan.

Setakat ini Rukunegara yang diisytiharkan oleh DYMM Yang diPertuan Agong yang keempat pada 31 Ogos 1970 sebagai falsafah kebangsaan tidak diberi taraf perundangan. Tetapi taraf perundangan itu penting untuk mempastikan bahawa lima cita-cita dan lima prinsip Rukunegara memiliki kedudukan tertentu dalam konsepsi tentang identiti dan destini negara Malaysia yang tercinta ini. Cita-cita dan prinsip Rukunegara sepatutnya dianggap sebagai pegangan bersama rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama.

Apakah kaedah yang paling berkesan untuk menaikkan taraf Rukunegara ? Resolusi keempat tidak menjelaskan kaedahnya. Sekiranya satu akta baru digubalkan Rukunegara akan menjadi undang-undang biasa seperti undang-undang lain yang dikuatkuasakan. Proses pengkuatkuasaan mungkin menimbulkan masalah. Kemungkinan ini harus diambilkira kerana apek-aspek tertentu dalam undang-undang yang sedia ada tentang hak asasi manusia umpamanya dapat ditafsirkan sebagai bertentangan dengan cita-cita mengenai “ cara hidup demokratik “ dalam Rukunegara. Kontroversi yang bakal timbul di antara undang-undang tidak akan memanafaatkan rakyat jelata. Kebimbangan tentang kemungkinan ini telah pun disuarakan oleh beberapa individu dan kumpulan.

Cara yang lebih baik adalah untuk menjadikan Rukunegara sebagai mukadimah kepada Perlembagaan Persekutuan. Oleh kerana Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang utama negara, Rukunegara sebagai mukadimah, secara otomatis, akan mencapai satu status tersendiri, bukan seperti undang-undang biasa yang lain yang dikuatkuasakan melalui sistem mahkamah . Rukunegara sebagai mukadimah kepada Perlembagaan ( Preamble to the Constitution), akan menjadi satu pedoman, panduan atau alat kompas yang menentukan halatuju negara. Inilah peranan mukadimah kepada perlembagaan kebanyakan negara.

Untuk meyakinkan semua pihak, penganjur dan penyokong inisiatif untuk menjadikan Rukunegara Mukadimah Perlembagaan (RMP) ingin mencadangkan bahawa dalam proses meminda Perlembagaan Persekutuan, dewan Parlimen yang mulia kita harus memasukkan satu fasal yang menyatakan bahawa mukadimah tidak boleh digunakan untuk mengusik mana-mana peruntukan perlembagaan, khususnya tentang perkara-perkara mengenai: kedudukan Raja-Raja Melayu; kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa rasmi yang tunggal serta peranan bahasa-bahasa lain ; kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum yang lain; dan kewarganegaraan. Sejak 1971, peruntukan-peruntukan perlembagaan ini tidak boleh dipinda oleh parlimen tanpa persetujuan dan rujukan kepada Majlis Raja-Raja dan adalah menjadi tanggungjawab Yang di Pertuan Agung untuk melindunginya. Rukunegara sebagai mukadimah juga tidak akan menyentuh kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan hak kaum bukan Islam untul menganuti agama masing-masing. Tambahan pula, Rukunegara sendiri melalui prinsip ketiganya mempertahankan keluhuran Perlembagaan.

Ini bermakna bahawa menjadikan Rukunegara sebagai Mukadimah Perlembagaan tidak akan mengganggu-gugat asas-asas kenegaraan yang sekian lama menjamin keharmonian masyarakat Malaysia.Ia hanya akan menjelaskan halatuju negara kita, iaitu, untuk mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya; memelihara cara hidup demokratik; mencipta satu masyarakat yang adil dimana kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil dan saksama; menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai corak; dan membina satu masyarakat progresif yang menggunakan sains dan teknologi moden. Untuk mencapai cita-cita ini, Rukunegara menggubalkan lima prinsip, iaitu, kepercayaan kepada Tuhan; kesetiaan kepada Raja dan Negara; keluhuran Perlembagaan; kedaulatan Undang-Undang; dan kesopanan dan sesusilaan.

Cita-cita dan prinsip-prinsip ini bukan asing pada negara kita. Sejak Merdeka ia merupakan sebahagian penting daripada usaha pemerintah dan masyarakat kita untuk menentukan kesejahteraan rakyat. Oleh kerana sesetengah penggubal dasar dan pembuat keputusan kadangkala alpa akan cita-cita dan prinsip –prinsip Rukunegara mereka harus diingatkan tentang kewajipan mereka. Lagi pun, sebahagian daripada masyarakat kita, termasuk golongan muda lebih tertarik pada matlamat-matlamat kenegaraan yang eksklusif, yang memberi tafsiran tertentu pada agama yang meminggirkan sebahagian besar daripada masyarakat. Dalam keadaan sedemikian rupa, sebuah falsafah nasional yang inklusif, yang merangkumi semua kaum dan agama, dan setiap negeri dan wilayah, boleh memain peranan yang positif. Itulah keistimewaan yang ada pada Rukunegara.

Mengangkat falsafah nasional kita ketahap mukadimah Perlembagaan akan menggalakkan mereka yang berkuasa dan berpengaruh dalam sektor awam dan sektor swasta menggubalkan lebih banyak dasar-dasar yang mencerminkan cita-cita Rukunegara. Dasar-dasar ini harus dilaksanakan dengan baik. Ciri yang paling penting dalam pelaksanaannya ialah keikhlasan.

Melaksanakan Rukunegara dengan ikhlas harus menjadi ikrar semua pihak pada 2017 – genap 60 tahun Malaysia Merdeka. Inilah cara yang paling baik untuk mengingati legasi allahyarham Tun Abdul Razak. Rukunegara adalah antara sumbangan besar negarawan tersohor itu. Menjadikan Rukunegara Mukadimah Perlembagaan negara kita adalah satu langkah kecil yang boleh diambil oleh generasi semasa untuk mengucapkan “ terima kasih” kepada beliau.

Dr. Chandra Muzaffar ialah Pengerusi kumpulan Rukunegara Mukadimah Perlembagaan merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here