Home  >  Agama  >  Majlis Perkahwinan Cara Islam

Majlis Perkahwinan Cara Islam

By   /   December 7, 2011  /   1 Comment

Tags:

Sudah menjadi amalan, walimatulurus atau kenduri perkahwinan diadakan sebagai meraikan mempelai menjadi raja sehari. Perkahwinan tanpa majlis walimatulurus akan hilang seri hari istimewa yang menjadi ingatan seumur hidup.

Sebenarnya, majlis walimatulurus bukan setakat adat dalam masyarakat Melayu, tetapi juga dituntut oleh agama Islam. Nabi Muhammad menyuruh Abdul Rahman bin Auf yang mahu berkahwin agar mengadakan walimatulurus sempena perkahwinannya biarpun sekadar menyembelih seekor kambing.

Antara tujuan mengadakan walimatulurus ialah untuk menyebarkan berita perkahwinan itu. Hebahan itu amat penting bertujuan mengelak fitnah yang mungkin dilemparkan kepada pasangan yang baru berkahwin.

Sekirannya perkahwinan itu tidak diketahui orang lain, mereka mungkin dituduh melakukan maksiat atau perbuatan sumbang apabila berdua-duan. Sekiranya isteri mengandung, kemungkinan dia dituduh berzina.

Hebahan itu juga akan memberitahu mengenai status seseorang wanita menjadi isteri. Hal ini dapat mengelak ada lelaki lain menaruh minat terhadapnya.

Sebab itu, setiap majlis perkahwinan mesti dihebahkan dengan apa cara sekalipun. Jika tidak mampu atau tidak mahu mengadakan walimatulurus, sebarkan berita perkahwinan itu melalui jiran tetangga.

Perbuatan menyumbunyikan status perkahwinan seperti dilakukan seleberiti memang tidak patut dilakukan. Berkahwin dan mempunyai anak sepatutnya menjadi kebanggan dan bukannya satu bebanan yang perlu disembunyikan kepada umum.

Biarpun walimatulurus dianggap sunat muakad, tetapi tidak pula ditetapkan jenis majlis atau besar mana harus diadakan. Apa yang jelas, Rasulullah sentiasa menyebut agar majlis tersebut diadakan biarpun dalam majlis yang kecil.

Majlis walimatulurus sebagai tanda kesyukuran dengan termeterainya ikatan perkahwinan yang menjadi matlamat hidup setiap pasangan. Setiap lelaki dan perempuan yang berkahwin, bermakna menyempurnakan salah satu tuntutan agama.

Perkahwinan merupakan satu mahligai kehidupan untuk melengkapkan tabie kejadian manusia yang mana lelaki dan perempuan selain memerlukan antara satu sama lain. Daripada perkahwinan terbentuknya kehidupan keluarga yang bahagia.

Walimatulurus yang diadakan hendaklah dijemput jiran tetangga yang terdekat tanpa mengira mereka itu kaya atau miskin, ada pertalian saudara atau tidak. Jemputan itu selaras dengan tujuan untuk merapatkan hubungan sesama jiran tetangga.

Penglibatan semua jiran dalam majlis walimatulurus diumpamakan seperti satu keluarga besar. Semua orang berhak bersyukur dan bergembira dengan terlaksananya perkahwinan tersebut.

Amalan menjemput hanya mereka dari kelompok yang setaraf yakni golongan kaya hanya menjemput golongan kaya, tidak mencapai matlamat mengapa majlis tersebut digalak diadakan. Majlis demikian akan menyuburkan lagi sikap mementingkan diri dan sombong di dalam masyarakat.

Sesungguhnya majlis walimatulurus yang diadakan golongan kaya yang tidak menjemput sama gologan orang miskin turut serta adalah majlis tidak diberkati.

Perkara ini dijelaskan Rasulullah dalam sebuah hadis bermaksud: ?Sejelik-jelik makanan ialah makanan dari majlis walimatulurus yang hanya dijemput orang kaya sahaja, orang fakir dan miskin tidak pula dijemput untuk makan bersama.? (Hadis riwayat Bukhari).

Menyediakan makanan untuk orang lain turut menikmatinya merupakan amalan mulia yang perlu disuburkan dalam masyarakat. Perbuatan itu lambang ikatan persaudaraan dan melahirkan kesyukuran dengan rezeki yang dimiliki.

Keberkatan dan kemuliaan amalan tersebut bertambah-tambah lagi apabila turut dihadiri golongan miskin dan fakir yang amat memerlukan makanan. Golongan ini jarang berpeluang menikmati hidangan yang enak dan lazat.

Sabda Rasulullah bermaksud: ?Sesungguhnya malaikat tetap mendoakan seseorang selama hidangan makanannya masih terhampar atau tersedia untuk tetamu.? (Hadis riwayat Tarmizi).

Memandangkan walimatulurus menjadi satu tuntutan agama, maka sesiapa yang dijemput untuk menghadirinya juga dituntut menghadirinya. Menjadi hak sesama Muslim menunaikan jemputan Muslim yang lain.

Sebuah hadis diriwayatkan Bukhari bermaksud: ?Jika seseorang antara kamu dijemput ke walimatulurus, maka hendaklah dia mendatangi majlis tersebut.?

Individu menghadiri walimatulurus diharuskan membawa hadiah, makanan, atau melakukan gotong royong menjayakan majlis itu. Ini bergantung kepada kemampuan dan keikhlasan masing-masing untuk sama-sama menyumbang menjayakan sesuatu yang baik.

Pun begitu, orang yang mengadakan majlis walimatulurus tidak harus sama sekali mengharapkan hadiah atau sumbangan daripada para jumputan. Jamuan yang disediakan itu hendaklah diniatkan sebagai sedekah dan tidak seharusnya mengharapkan apa-apa balasan.

Sikap sesetengah orang yang mengadakan majlis walimatulurus seumpama satu ?perniagaan? dengan cara mengharapkan sumbangan daripada tetamu yang hadir adalah bertentangan dengan tuntutan agama.

Sudah menjadi kebiasaan, tetamu seperti rasa terpaksa memberi sumbangan kepada tuan rumah. Sebab itu banyak yang akan mengeluh apabila tiba musim di mana banyak pasangan berkahwin mengadakan majlis walimatulurus kerana terpaksa menyediakan peruntukan untuk membeli hadiah atau memberi sumbangan wang.

Kecederungan mengadakan majlis walimatulurus di luar batasan kemampuan banyak mengundang masalah. Amalan berhutang dan menggadaikan harta demi mengadakan walimatulurus yang meriah dan hebat ditegah dalam Islam.

Disebabkan ingin mengadakan majlis walimatulurus yang meriah dan hebat, maka banyak pasangan yang ingin berkahwin terpaksa ditangguhkan disebabkan belum cukup wang. Sesiapa yang menangguh perkahwinan sedangkan telah bertemu pasangan sesuai, sebenarnya tidak peka kepada tuntutan agama.

Islam menggalakkan agar perkahwinan disegerakan. Sabda Rasulullah bermaksud: ?Ada tiga perkara yang tidak bolah dilambatkan, iaitu sembahyang apabila tiba waktunya, menyelenggarakan jenazah dan mengahwinkan seorang perempuan apabila sudah memperoleh jodoh yang sesuai.? (Hadis riwayat Tarmizi).

Allah memberkati perkahwinan dengan melimpahkan kebahagiaan dan rezeki kepada pasangan suami isteri. Pepatah ada mengatakan perkahwinan diumpamakan membuka pintu rahmat dan rezeki.

Firman Allah bermaksud: ?Kahwinkanlah anak-anak kamu (yang belum kahwin) dan orang-orang yang sudah sampai masanya berkahwin dari hamba-hambamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka itu orang-orang yang tidak mampu, mereka Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari anugerah-Nya.? (Surah an-Nur, ayat 32).

Perkahwinan perlu disegerakan tanpa memikirkan penangguhan disebabkan ingin mengadakan walimatulurus yang besar. Sesungguhnya Islam sentiasa mengutamakan kesederhanaan dan melakukan ikut kemampuan.

Firman Allah bermaksud: ?Hamba-hamba Allah ialah mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tidak boros dan tidak kedekut, sebaliknya perbelanjaan mereka adalah sederhana.? (Surah al-Furqan, ayat 67).

Majlis walimatulurus dalam masyarakat Melayu biasanya turut melibatkan majlis persandingan. Ini dikaitkan dengan amalan Hindu Kuno yang pernah bertapak di negara kita sebelum kedatangan agama Islam.

Namun begitu, ulama sepakat mengatakan hukumnya harus jika dilakukan dengan tertib. Persandingan yang dilakukan hendaklah sekadar bertujuan ?bersua muka? dengan tetamu yang hadir di kalangan ahli keluarga. Pakaian pengantin perempuan mesti menutup aurat.

Majlis persandingan juga mesti tidak mempamerkan unsur membazir dan tidak bertujuan untuk bermegah-megah.

p/s: skank kang musim kenduri kawen, aiyaa byk stok adiah kena beli, utk kawan2 rapat….

Sumber


1 Comment

  1. nik hasnah yusoff says:

    kebanyakan jemputan kahwin yg di hantar melalui org yg dibayar, kadang2 kita x kenal pun org yg menjemput kita dan jauh dari qariah kita, bila pergi kenduri melilau nak cari tuan rumah yg. mana satu , bila jumpa tanya kita dtg mana maklumlah x pernah kenal sampai malu di buatnya .patut ke kita pergi sekira mendapat jemputan seperti itu, zaman2 dulu kalau nak menjemput datang sendiri kerumah jadi kta tahu org tu dok mana, siapa dia barulah ada silaturahim, ini bila nak kenduri baru nak rapat sillaturahim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

You might also like...

Derma Rahim Untuk Bantu Wanita Bermasalah Dibolehkan Dalam Islam

Read More →