Najis berdarah gejala kanser usus

0
69



Antara kanser yang amat dikenali di Malaysia ialah kanser usus. Ia antara kanser utama yang dihidapi penduduk Malaysia terutama lelaki dan juga kaum Cina. Ia juga penyumbang kematian utama akibat kanser di negara ini.

Usus manusia membabitkan kawasan yang merangkumi usus kecil bermula dari pangkal yang bersambung dari perut, menjadi usus besar hinggalah ke lubang dubur.

Kanser boleh tercetus di mana-mana sepanjang saluran itu.

Keturunan bukan faktor utama berlakunya kanser usus. Faktor penyumbang kepada kanser usus termasuk peningkatan usia, pengambilan makanan yang tinggi dengan lemak, daging merah yang diproses, minuman keras, merokok dan juga kegemukan.

Golongan lelaki lebih berisiko menghidap kanser usus berbanding wanita. Simptom bagi kanser usus bergantung pada lokasi di mana kanser itu terbentuk.

Ada pesakit mengalami simptom susah membuang najis. Ada pula keadaan di mana sukar membuang air berselang-seli dengan cirit-birit yang berlaku berulang kali serta berpanjangan.

Muntah, hilang selera makan, susut berat badan secara mendadak boleh berlaku. Ada kalanya najis pesakit bercampur dengan darah.

Jika simptom ini berlaku, pesakit hendaklah segera berjumpa doktor. Pemeriksaan klinikal boleh membantu mengenal pasti sama ada seseorang itu disyaki menghidap kanser usus atau tidak.

Untuk pengesahan, pemeriksaan menggunakan imbasan tomograf berbantukan komputer (CAT scan) perlu dijalankan bagi mengenal pasti bahagian usus yang terbabit dengan kanser, sama ada kanser itu sudah merebak juga dapat memberi gambaran pilihan rawatan kepada pesakit.

Ujian darah juga perlu dilakukan untuk melihat keadaan fizikal pesakit. Pilihan rawatan bergantung pada ujian imbasan dan keadaan fizikal pesakit.

Pilihan sama ada pembedahan, kemoterapi atau radioterapi perlu dibincangkan antara pesakit juga keluarga supaya semua risiko dipertimbangkan.

Perlu diingat, jika pembedahan tidak dilakukan, kadar kebarangkalian

kematian juga adalah tinggi. Mereka yang mempunyai risiko, disaran menjalankan ujian darah berkala. Ada ujian darah yang dapat mengenal pasti kanser usus tahap awal.

Apa yang penting ialah penjagaan kesihatan seperti menjaga berat badan, tidak merokok serta tidak mengambil minuman keras.

Selain itu minum air kosong sekurang-kurangnya lima gelas sehari dapat mengurangkan risiko menghidapi kanser usus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here