Penderitaan emosi jangka panjang

0
81



Jangkitan jerawat bernanah atau akne adalah masalah kulit kronik yang paling kerap dialami remaja dan dewasa di negara ini. Malah, dianggarkan lebih 85 peratus remaja dan dewasa berusia 12 hingga 25 tahun di seluruh dunia mendapat akne.

Malangnya, penjagaan kulit yang terdedah dengan akne ini sering diabaikan hingga mengundang masalah parut. Parut akibat akne yang jelas kelihatan terutama pada wajah dan leher lazimnya akan menjejaskan keyakinan diri seseorang dan menyebabkan perasaan malu serta tidak selesa untuk berdepan orang ramai.

Baru-baru ini, jenama penjagaan parut, Hiruscar Post Acne, menjalankan kajian mengenai akne dalam kalangan rakyat Malaysia dan bagaimana mereka mengurus dan mencegah masalah kulit terbabit termasuk parut akibat akne.

Hasil kajian yang dijalankan pada April lalu membabitkan 400 responden berusia 10 hingga 50 tahun secara soal selidik mendapati sebanyak 90 peratus daripadanya pernah berdepan dan sedang mengalami masalah akne. Sebanyak 68 peratus mengaku mendapat akne pada usia belasan tahun dan 68 peratus juga melaporkan kerap mendapat akne wajah yang teruk.

Sebanyak 98 peratus daripada 360 responden yang berdepan masalah akne mengaku mendapat parut dan tanda hitam yang dalam akibat masalah kulit terbabit.

Pengurus Kanan Pengurusan Pemasaran Penjagaan Kesihatan Pengguna DKSH Malaysia Sdn Bhd, Pang Koon Yin berkata, akne disebabkan oleh pelbagai faktor dan keputusan kajian berkenaan mendedahkan faktor utama yang menyumbang kepada masalah kulit terbabit adalah tekanan iaitu sebanyak 32 peratus.

Faktor lain yang menyumbang kepada akne adalah perubahan tahap hormon (31 peratus), keletihan, tidur tidak menentu dan kurang bertenaga (30 peratus), keturunan (lima peratus) dan tiga peratus lagi disebabkan pengambilan ubat tertentu.

“Kulit setiap orang berbeza mengikut genetik dan disebabkan itu seseorang mengalami masalah kulit berparut akibat akne memerlukan lebih daripada satu kaedah rawatan untuk mencegahnya.

“Berdasarkan kajian berkenaan juga didapati responden secara amnya mengikut nasihat pakar kulit dalam penjagaan kesihatan kulit yang berakne. Kira-kira 36 peratus mengaku membersihkan muka mereka setiap hari, manakala 24 peratus mengelak menyentuh kulit mereka yang bermasalah.

“Sebanyak 17 peratus responden memilih produk penjagaan kulit yang diuji secara klinikal, tidak berminyak dan mencegah akne, 14 peratus kerap melakukan proses mengupas kulit mati dan enam peratus lagi mendapatkan rawatan di klinik kulit,” katanya.

Katanya, tidak semua individu yang mengalami akne berdepan masalah parut kerana ada yang pulih tanpa meninggalkan sebarang tanda atau kesan pada kulit mereka. Sebaliknya, mereka yang mendapat parut akibat akne terutama parut yang ketara dan jelik boleh mengalami penderitaan emosi dalam jangka panjang.

“Dalam kajian yang sama juga mendedahkan 57 peratus responden menyuarakan kerisauan mengenai parut akne mereka sama ada ia akan kekal dan mengubah penampilan. Sebanyak 18 peratus pula bertindak memencilkan diri daripada berdepan orang ramai kerana rasa tidak selesa.

“Agak mengejutkan juga apabila 17 peratus rerponden mengaku mengalami kemurungan dan tahap keyakinan diri rendah disebabkan parut yang hodoh terutama di wajah mereka. Bagaimanapun, lapan peratus responden tidak kisah dengan parut akne dan menganggap ia tidak menjejaskan keyakinan mereka, sebaliknya parut akne hanya sebahagian proses pertumbuhan kulit,” katanya.

Bagi merawat masalah parut disebabkan akne, penting untuk kita mengetahui bagaimana parut akne terbentuk berikutan ia boleh muncul dalam pelbagai saiz dan jenis. Sebanyak 63 peratus responden mengalami parut dengan tanda hitam atau bintik merah, 31 peratus mendapat parut dalam atau berlubang disebabkan banyak kehilangan tisu dan enam peratus mendapat parut timbul (keloid).

Pang berkata, lazimnya mereka yang mengalami akne hanya mencari jalan untuk merawat masalah kulit itu dan mencegahnya tanpa memikirkan komplikasi lain akibat akne seperti parut atau tanda bekas akne.

“Berdasarkan kaji selidik itu, kebanyakan kita tidak menyedari ada kaedah yang boleh merawat masalah parut bekas akne. Oleh itu, kami melancarkan kempen #SayNO2Scar untuk mendidik rakyat Malaysia dengan pengetahuan mengenai parut akne dan pilihan rawatan yang ada.

“Ini bagi membantu mereka yang mengalami masalah parut bekas akne mengurangkan masalah berkenaan. Antara aktiviti dalam kempen ini, Hiruscar Post Acne akan melawat lapan universiti di Lembah Klang dan mengadakan kelas kepada pelajar mengenai parut akne dan rawatan sedia ada,” katanya.

Sementara itu, pakar dermatologi dan pengasas Medi-I Skin Studio, Dr Lim Ing Kien berkata, setiap parut mempunyai ciri-ciri berbeza dan cara mencegah serta merawatnya juga berlainan. Namun, perlu difahami bagaimana parut bekas akne terbentuk dan mengenali jenis parut bagi memudahkan jenis rawatan dilakukan.

Parut akibat akne berlainan daripada tanda bekas jerawat. Ini kerana, parut bekas akne mengubah tekstur kulit muka asal, manakala tanda bekas jerawat pula ialah kesan yang tidak mengubah tekstur kulit asal tetapi mengubah tona warna akibat proses pigmentasi semula jadi.

Jangkitan akne boleh meresap jauh ke dalam kulit dan merosakkan lapisan dermis kulit iaitu tisu di bawah lapisan kulit. Apabila jangkitan terkawal, kulit akan menghasilkan kolagen dan tisu elastik untuk memulihkan kerosakan terbabit.

Kawalan kerosakan ini menghasilkan tisu kulit baru dan tidak sama seperti yang asal. Parut yang terbentuk bergantung kepada penghasilan kolagen sama ada berlebihan atau berkurangan.

“Parut akne disebabkan akne yang teruk, walaupun tanda selepas akne ringan boleh hilang sendiri berikutan tidak menyebabkan perubahan tekstur kulit, tetapi bagi tanda gelap dan parut bekas akne yang sederhana dan teruk biasanya perlu dirawat.

“Malah, parut-parut yang terbentuk juga berlainan saiz dan bentuk serta biasanya terjadi pada waktu yang sama. Oleh itu, langkah pertama dalam rawatan parut bekas akne adalah mengenal pasti jenis parut kerana setiap jenis parut menggunakan kaedah berlainan.

“Penting memilih rawatan sesuai dengan masalah parut bagi mendapatkan hasil pemulihan optimum kerana rawatan salah hanya membazirkan masa dan wang anda,” katanya.

Menurut Pakar Perunding Dermatologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Ch’ng Chin Chwen, akne di muka berlaku kepada kira-kira 67.5 peratus remaja di negara ini dan trend berkenaan meningkat seiring dengan pertambahan usia.

“Masalah kulit ini biasa dialami, tetapi kebanyakan mereka tidak memahami tanpa penjagaan dan rawatan kulit yang wajar, akne berpotensi menyebabkan tanda gelap dan lebih buruk lagi meninggalkan parut.

“Malah, risiko mendapat parut akne juga lebih tinggi jika memicit bahagian yang bernanah itu dan melewatkan rawatan akne. Bagi mengurangkan risiko pembentukan parut bekas akne, cuba kurangkan keradangan yang mengakibatkan jangkitan dengan merawat masalah akne secepat mungkin. Dapatkan nasihat daripada pakar kulit bagaimana untuk merawat akne dengan lebih berkesan,” katanya.

Dr Ch’ng berkata, pengguna juga perlu berhati-hati memilih produk penjagaan kulit yang sesuai bagi merawat masalah parut bekas akne dengan memilih sapuan yang mempunyai pelembap bagi mengurangkan pembentukan parut atau tanda gelap.

SHARE
Previous articleKlon Daihatsu Move
Next articlePraktikal, mewah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here