Rasuah koperasi GLC: 6 termasuk 4 bergelar 'Datuk' direman – SPRM

0
53



PUTRAJAYA: Enam individu termasuk empat bergelar ‘datuk’ direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa membabitkan pinjaman ahli koperasi sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Perintah reman itu dikeluarkan majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di sini hari ini, selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM.

Mereka yang berusia lingkungan 42 hingga 68 tahun itu direman bermula hari ini hingga Ahad ini bagi membolehkan siasatan dijalankan. Kesemua mereka ditahan di beberapa lokasi di Selangor dan Kuala Lumpur kira-kira jam 8 pagi hingga 10 pagi semalam.

Mereka yang ditahan adalah terdiri daripada pengerusi, setiausaha, bendahari, seorang ahli lembaga koperasi dan isterinya, selain seorang individu daripada sebuah syarikat pembekal.

Sumber berkata, mereka ditahan bagi membantu siasatan selepas disyaki memperdaya tidak kurang daripada 450 anggota koperasi di bawah naungan mereka yang kemudiannya menghasilkan komisyen ratusan ribu ringgit kepada anggota-anggota lembaga berkenaan.

Difahamkan, ahli lembaga pengarah koperasi berkenaan mendaftar tanpa kebenaran kesemua peminjam di bawah naungan mereka dalam sebuah syarikat jualan langsung MLM. Katanya, anggota-anggota koperasi tidak mengetahui yang mereka meminjam dan kemudian melabur dalam syarikat MLM itu, yang didaftarkan di bawah naungan ahli-ahli lembaga berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here