Rawatan buah pinggang

0
123



Penyakit buah pinggang kronik (CKD) adalah penyakit seumur hidup dan boleh mendatangkan kesan negatif yang amat teruk terhadap kualiti hidup pesakit. Selain membataskan aktiviti harian, pesakit tahap kronik bukan sahaja terpaksa menelan ubat-ubatan dan menjaga pemakanan harian, malah mereka juga bergantung sepenuhnya pada mesin dialisis bagi meneruskan hidup.

Malangnya, bilangan pesakit buah pinggang di negara ini sentiasa meningkat setiap tahun. Malah, Malaysia juga dikenal pasti antara negara paling ramai pesakit buah pinggang di dunia disebabkan amalan gaya hidup tidak sihat penduduk terutama pengambilan makanan tidak seimbang.

Presiden Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN) Prof Dr Goh Bak Leong berkata terdapat kira-kira 2.5 juta rakyat Malaysia menghidap penyakit buah pinggang.

“Jumlah itu dilihat semakin membimbangkan kerana ia meningkat setiap tahun. Pesakit ‘end stage renal disease’ atau penyakit buah pinggang tahap akhir (ESRD) mempunyai beberapa pilihan rawatan seperti pemindahan organ, hemodialisis dan peritoneal dialisis.

“CKD juga dianggap pembunuh senyap kerana perkembangan penyakit ke tahap akhir tidak menunjukkan sebarang gejala. Oleh itu, pendidikan adalah kunci bagi mencegah penyakit ini berikutan kebanyakan orang terutama dalam kalangan orang muda memandang remeh kepentingan menjaga buah pinggang sendiri.

“Dengan memilih terapi peritoneal dialisis (PD), pesakit masih boleh bekerja dan menjalani gaya hidup yang agak aktif,” katanya ketika ditemui pada kempen Life Uninterrupted anjuran Baxter dengan sokongan sokongan Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN) di Petaling Jaya beru-baru ini.

Dalam kempen berkenaan, turut diadakan pameran yang menampilkan karya seni mengagumkan daripada tujuh pelukis tempatan yang berbakat dengan tema yang menumpukan kepada aspek pilihan terapi seperti PD yang membolehkan pesakit menjadi lebih berdikari, seterusnya mengurangkan kesan penyakit buah pinggang ke atas kehidupan mereka berbanding rawatan konvensional hemodialisis (CHD).

Sementara itu, Ketua Jabatan dan Pakar Runding Nefrologi Hospital Tuanku Ja’afar, Dr Lily Mushahar menjelaskan terdapat lebih 100 peratus peningkatan dalam jumlah pesakit buah pinggang yang baru di Malaysia sejak 10 tahun kebelakangan ini.

“Setakat 2015, penyakit buah pinggang kronik adalah antara 10 penyebab utama kematian di Malaysia, dengan peningkatan yang sangat tinggi iaitu sebanyak 19.1 peratus sejak 10 tahun yang lalu . Statistik yang membimbangkan ini membuktikan betapa pentingnya meningkatkan kesedaran mengenai penyakit ini dan menambah pengetahuan mengenai pilihan rawatan yang memberikan pesakit peralihan gaya hidup yang lebih mudah dan tidak terganggu,” katanya.

Turut hadir, Pengurus Besar Baxter George Kazzi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here