Sudah hampir tawan Marawi

0
23



TENTERA Filipina kini menguasai sebahagian besar Marawi di Mindanao dan hanya sebahagian kecil bandar itu masih dikuasai militan selepas hampir seminggu pertempuran yang mengorbankan lebih 100 nyawa.

Menurut angka dikeluarkan kerajaan, jumlah kematian ialah 105 orang iaitu 61 militan, 20 tentera dan polis serta 24 orang awam.

AP melaporkan, mayat orang awam ditemui di jalanan semalam, termasuk di satu kawasan mayat lapan lelaki dalam parit dipercayai ditembak militan. Mayat tiga lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak ditemui di tepi jalan dekat Universiti Mindanao.

Masih ramai penduduk yang meninggalkan bandar Marawi sambil mengibarkan bendera putih. – Foto AP

Tentera melakukan pengeboman dari udara di kawasan tertentu dan melakukan penggeledahan dari rumah ke rumah.

Jurucakap tentera, Brigadier Jeneral Restituto Padilla, berkata tentangan militan semakin berkurangan.

“Kami percaya mereka kini kekurangan peluru dan makanan. Berbanding sebelum ini, tentangan militan semakin lemah,” katanya.

Sementara itu, AFP melaporkan kira-kira 2,000 penduduk masih terperangkap di kawasan pertempuran dan kini kehabisan makanan serta air.

Jurucakap jawatankuasa pengurusan krisis wilayah itu, Zia Alonto Adiong, berkata penduduk menghubungi jawatankuasa itu meminta pertolongan.

“Mereka tidak boleh meninggalkan rumah kerana militan melakukan sekatan jalan raya.

Antara pesanan teks yang diterima: “Kasihani kami, tiada lagi air untuk diminum.”

Banyak rumah musnah, seperti seorang penduduk, Saddat Liong yang rumahnya musnah sama sekali terkena bedilan mortar.

Menurut Liong, dia dan isteri serta lapan anak kini tinggal sehelai sepinggang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here