10 hari tanpa khabar

0
11



Kubang Pasu: Seorang ibu dari Kampung Desa Keda Malau, Kubang Pasu, buntu selepas anak perempuannya 10 hari menghilangkan diri sejak Aidilfitri ketiga.

Faridah Ismail, 48, berkata, kehilangan Nurul Suriani Daud, 22, disedari ketika adik iparnya menjemput anak saudaranya itu pulang dari kerja di Bandar Darulaman.

Menurutnya, mereka buntu mencari Nurul Suriani walaupun pelbagai usaha dijalankan termasuk menularkannya di media sosial dan rawatan alternatif.

“Kami harap Nurul Suriani pulang ke rumah kerana sangat rindu dan risaukan keselamatan dirinya.

“Adik bongsu, Nurul Azirah, 7, yang paling rapat dengannya lima hari tidak hadir ke sekolah kerana teringatkan kakaknya,” katanya di rumah mereka, di sini, semalam.

Menurut Faridah, suaminya, Daud Ahmad, 52, tidak mampu bekerja sejak kehilangan anak mereka dan hanya berulang-alik ke Balai Polis Jitra untuk mendapatkan perkembangan terkini.

Portal Berita Harian Metro Ahad lalu melaporkan, seorang ibu dari Kampung Desa Keda Malau, Kubang Pasu, merayu anak perempuannya pulang ke pangkuan keluarga selepas menghilangkan diri sejak Aidilfitri ketiga.

Faridah berkata, suaminya, Daud menghantar Nurul Suriani seperti biasa di butik menjual pakaian bayi pada jam 9.30 pagi, pada hari dia dilaporkan hilang.

“Adik ipar saya pula jemput Nurul Suriani balik jam 9 malam. Tapi, dia tiada walaupun butik itu ditutup.

“Kami risau apabila majikan memaklumkan Nurul Suriani yang baru bekerja dua bulan lalu tidak hadir pada hari dia hilang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here