10 jemaah Tabligh Indonesia terselamat

0
56



Marawi: Sebelas warga Indonesia dipindahkan dari Bandar Marawi, ibu negeri wilayah Lanao del Sur di selatan Filipina, tempat pertempuran sengit berlaku antara tentera dengan kumpulan yang ada hubungan dengan Daish.

Jurucakap kementerian luar, Arrmanatha Nasir berkata, 10 daripada yang dipindahkan itu ialah anggota jemaah Tabligh dari Bandung, Jawa Barat.

Mereka yang menjalankan kerja agama berada di bandar Marawi beberapa hari sebelum pertempuran meletus Selasa lalu.

Menurut Arrmanatha 10 anggota jemaah Tabligh itu menjadi tetamu seorang warga Indonesia, Yusuf, yang berkahwin dengan seorang penduduk tempatan dan menetap di Marawi sejak beberapa tahun lalu.

“Setakat ini, tidak ada bukti menunjukkan pembabitan mereka dengan kumpulan Maute, Daish atau militan lain yang terbabit dalam pertempuran di Marawi,” kata Arrmanatha.

Jurucakap Pejabat Imigresen, Agung Sampurno berkata, 10 anggota jemaah itu menjalankan usaha agama di Masjid Abu Bakar As-Siddiq di Kampung Barangay Basak Malutlut selepas memaklumkan mengenai kegiatan mereka kepada pihak berkuasa tempatan.

“Apabila pertempuran meletus, mereka serta-merta dipindahkan ke sebuah masjid yang lebih hampir dengan balai polis,” katanya.

Menurut Agung, semua 11 rakyat Indonesia itu kini berada di luar zon konflik di Marawi dan di bawah perlindungan polis.

Pejabat Imigresen dan Konsul Indonesia di Davos menggesa mereka pulang tetapi jemaah tabligh itu belum membuat keputusan. – Agensi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here