10 pelajar MRSM Parit boleh rayu ke sekolah harian

0
66



Sepuluh pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, Perak yang ditamatkan pengajian mereka berkuat kuasa kelmarin kerana kesalahan membuli, boleh membuat rayuan untuk memasuki sekolah harian biasa.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata rayuan berkenaan boleh dibuat di Jabatan Pelajaran di mana-mana negeri.

“Bagaimanapun untuk mereka ini, ada syarat-syarat tertentu kerana kita telah tahu apa masalah yang mereka ini terlibat,” katanya kepada pemberita di Jelebu malam tadi.

Pada 18 Mei lepas, media melaporkan enam pelajar MRSM Parit menjadi mangsa buli apabila dipukul oleh 10 senior mereka kerana mangsa enggan meminjamkan kasut bola, awal bulan ini.

Kes itu membabitkan mangsa yang kesemuanya berusia 14 tahun yang dipukul pelajar senior berumur 15 tahun dan 16 tahun.

Terdahulu, Mahdzir merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Parlimen Jelebu yang dihadiri kira-kira 300 warga pendidik.

Sementara itu, Bernama melaporkan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata keputusan untuk menamatkan pengajian pelajar terbabit dicapai selepas dicadangkan oleh Jawatankuasa Rayuan Maktab (JRM) dalam mesyuaratnya Isnin lepas yang turut memberi peluang kepada semua pelajar terbabit untuk membela diri.

“Ini adalah pengajaran kepada mana-mana pelajar agar tidak melakukan perkara di luar kesopanan dan kesusilaan kita… para ibu bapa juga, tidak perlu risau kerana kita tidak akan berkompromi dengan kes seperti ini.

“Saya juga nak tegaskan bahawa kita tidak menganiaya sesiapa,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil Program Latihan Teknikal dan Keusahawanan Masyarakat Islam Kemboja di Rembau kelmarin.

Turut hadir Ketua Pengarah Mara Azhar Abdul Manaf dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Mengulas lanjut, beliau berkata surat penamatan pengajian telah dihantar kepada semua ibu bapa 10 pelajar terbabit, semalam.

Sementara itu, Azhar berkata kesemua enam pelajar yang masih trauma dengan kejadian itu telah diberikan kaunseling.

“Malah ada di antara mereka telah membuat permohonan untuk ditukarkan ke MRSM lain dan itu telah kita luluskan,” katanya.

– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here