11 inisiatif untuk Cyberjaya diumum

0
21



Putrajaya: Sebanyak 11 inisiatif baru diumumkan, semalam bagi melengkapkan transformasi Cyberjaya sebagai hab teknologi global, bandar pintar dan ekosistem digital secara menyeluruh.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, inisiatif yang bakal dilaksanakan itu sebagai meraikan sambutan 20 tahun Cyberjaya sebagai pencetus pembangunan teknologi tinggi negara.

Beliau berkata, antara inisiatif yang akan dilaksanakan termasuk projek pelaburan dan dana, kerjasama strategik dalam bidang teknologi dan mentransformasikan Cyberjaya sebagai hab teknologi global.

“Saya mengakui kepentingan teknologi digital dalam persekitaran dunia hari ini yang sangat dinamik ke arah memacu pertumbuhan negara maju.

“Sesungguhnya kerjasama strategik yang diambil ini bergerak seiring dengan usaha Transformasi Nasional atau TN50 untuk membentuk masa depan Malaysia dengan kedudukan global teratas dari segi ekonomi, kesejahteraan rakyat dan inovasi menjelang 2050,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Bandar Pintar Cyberjaya, di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Kesejahteraan Bandar dan Wilayah, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang juga Pengerusi Cyberview Sdn Bhd Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Katanya, kemajuan pesat Cyberjaya sebagai hab teknologi global turut membabitkan pembangunan bandar pintar yang lengkap menjelang 2020 merangkumi aspek ekonomi, perkembangan bakat dan juga infrastruktur pintar.

Najib berkata, penyediaan ekosistem digital yang kondusif menerusi bandar pintar di Cyberjaya mampu menghubungkan masyarakat dengan segenap infrastruktur yang ada dengan teknologi yang mampu meningkatkan kualiti hidup, pengurusan bandar yang lebih cekap, meningkatkan kelestarian, malah pada sama masa merangsang perkembangan inovasi secara berterusan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here