11 Julai tarikh sebutan semula kes rasuah dua bekas pemain bola sepak

0
48



Seremban: Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, menetapkan 11 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes membabitkan dua bekas pemain bola sepak yang didakwa menawarkan rasuah kepada pasukan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA).

Hakim Fathiyah Idris membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Karmila Mokhtar.

Tertuduh, Khairul Anuar Baharum, 43, dan G Prem Kumar, 49, sepatutnya disabitkan sebutan semula kes berkenaan, semalam, namun ditangguhkan berikutan laporan tidak lengkap.

Pada 28 April lalu, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Fathiyah atas dua pertuduhan rasuah yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa menawarkan suapan masing-masing RM10,000 kepada pemain dan penjaga gawang MISC-MIFA S Harivarman dan Mohd Khairul Izzuwan Shaari.

Ia antara lain membolehkan MISC-MIFA tewas 2-0 kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNKP) dalam aksi Liga Perdana pada 7 April lalu.

Perbuatan itu dilakukan di Kawasan Industri Ringan Senawang, di sini, pada 27 Mac lalu antara jam 9 hingga 10 malam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan.

Pada pertuduhan itu, Khairul Anuar dan Kumar dibenarkan diikat jamin RM10,000 setiap seorang dan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah selain diarahkan melapor diri di Pejabat SPRM Negeri Sembilan setiap bulan.

Kes dikendalikan Karmila manakala Khairul Anuar diwakili Ridha Abdah Subri dan Kumar diwakili N Yohendra.

Dalam pada itu, Fathiyah membenarkan permohonan Yohendra supaya Kumar melapor diri di Pejabat SPRM Kuala Lumpur setiap bulan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here