12 harapan negara

0
60



Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2017 kepada 12 penuntut institusi pengajian tinggi di Istana Negara, di sini, semalam.

Semua penerima biasiswa dipilih Jawatankuasa BYDPA, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang sains dan teknologi di universiti tempatan dan luar negara.

Enam yang menerima biasiswa bagi pengajian PhD ialah James Tan You Sian, pelajar Kejuruteraan Bahan di University Oxford, United Kingdom, Christina Parvinder Kaur (Sains Perubatan, Universiti Malaya (UM), Fakhitah Ridzuan (Pengurusan Sistem Maklumat Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd Fadhli Abd Rashid (Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia), Iffa Farahin Jeepery (Biokomia, USM) dan Leong Xin Yun (Biologi Molekul, University of Cambridge, United Kingdom).

Enam penerima bagi pengajian sarjana ialah Daniel Liew Yu Chuan (Kejuruteraan Awam, UTM), Heng Wei Khang (Sains Biologi Marin, UM), Jaezah Adlina Zainal Azman (Pharmacology and Translational Medical Science, University Oxford), Kaif Hilman Muhammad Borhan Tan (Matematik, University Of Cambridge, UK), Nur Nadia Che Aziz (Sains Perubatan, USM) dan Vinnothini Rasalingam (Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Imperial College, London).

BYDPA mula diperkenalkan pada 2006 untuk mengiktiraf kebolehan luar biasa seseorang pelajar. Sehingga kini, 11 sesi penawaran dilaksanakan dengan menaja 129 pelajar iaitu 65 pelajar di peringkat PhD dan 64 pelajar di peringkat Sarjana.

Bidang pengajian ditaja meliputi empat bidang utama iaitu sains dan teknologi, ekonomi, undang-undang dan kewangan Islam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah JPA, Datuk Seri Zainal Rahim Seman dan Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan JPA, Datuk Dr Rosslina Ahmad Mokhtar.

Mengulas penerimaan biasiswa itu, Tan berkata, beliau mahu menjadikan biasiswa tersebut sebagai platform untuk menjalankan sebanyak mungkin kajian di luar negara khususnya dalam menaik taraf perkhidmatan jalur lebar negara ini.

“Ini satu bidang baru yang luas, saya akan membawa balik segala ilmu yang dipelajari untuk menambah baik pelbagai perkhidmatan terutama perkhidmatan komunikasi di negara ini,” katanya yang menyambung pelajaran tiga tahun.

Seorang lagi pelajar, Jaezah Adlina berkata biasiswa yang diterima akan digunakan sebaik mungkin bagi meringankan kos pengajian di luar negara.

“Saya sedar biasiswa ditawarkan adalah hasil daripada masyarakat dan bertekad untuk berbakti semula dengan kerajaan apabila tamat belajar nanti,” katanya.

Jaezah Adlina bercadang mendalami kajian bagi menambah baik rawatan pemulihan penyakit strok di negara ini.

Sementara itu, Zainal Rahim berkata, kerajaan berharap penerima biasiswa mencatat keputusan cemerlang dan kembali berkhidmat dengan kerajaan. Tambahnya, sebelum ini 85 peratus daripada penerima biasiswa bertugas dengan kerajaan setelah tamat pengajian.

SHARE
Previous articleTauke kami sudah lari!
Next articleWayang duka

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here