"14 tahun tanpa zuriat, tidak pernah saya marah, sedih atau terkilan" – Mark Adam

0
66
Advertisement

BIARPUN sudah 14 tahun mendirikan rumah tangga, pasangan Mark Adam, 38, dan Nor Azad Redzuan, 38, bersedia untuk menerima anak angkat.

Jika itu rezeki kata Mark atau nama sebenarnya Fikri Mark Adam Abdullah dia tidak akan menolak.

“Kami masih berusaha dan mencuba sehabis baik untuk mendapatkan zuriat namun semuanya sudah ditentukan, kami berserah pada ketentuan Allah.

“Tidak pernah saya marah, sedih atau terkilan kalau ditanya perkara ini (anak) sebab semua pun ingin tahu tentang kehidupan peribadi saya.

“Sebelum ini kami pernah dikurniakan anak angkat namun rezeki tidak menyebelahi kami apabila ada beberapa perkara yang tidak diingini.

“Biarlah kami simpan kisah itu dan tak perlu diungkit-ungkit lagi.

“Namun, kalau ada yang ingin memberikan kami anak angkat, saya akan terima dengan hati terbuka,” katanya yang ditemui pada majlis sambutan hari jadinya ke-38 di De Laman, Bukit Jelutong, Selangor semalam.

Kejutan hari jadinya semalam diraikan lebih 50 kenalan, keluarga dan kelab peminatnya termasuk anak-anak pasangan Shuib dan Siti Sarah yang sangat manja dengannya.

“Saya tidak pernah diraikan sebegini, memang terkejut dan terharu apabila tiba-tiba semua menjerit ‘surprise’ kepada saya.

“Patutlah sehari dua ini isteri saya kelihatan mencurigakan. Rupa-rupanya ada agenda yang dia sembunyikan daripada pengetahuan saya.

“Tiada apa yang saya hajatkan sempena usia baharu saya 38 tahun ini melainkan kesejahteraan dan kebahagiaan keluarga saya terutama ibu dan isteri saya,” tambah Mark.

Mark Adam dilahirkan pada 15 Oktober 1979 di Cebu, Filipina dan telah berhijrah ke Malaysia pada tahun 2001.
 

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @markadam1079, @zyariv

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here