167 individu cuba daftar perkahwinan guna maklumat palsu

0
84



KUCHING: Seramai 167 individu dikesan cuba mendaftar melalui perkahwinan sivil di Sarawak menggunakan maklumat palsu bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, walaupun mereka masih ada ikatan perkahwinan secara adat.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Fatimah Abdullah berkata mereka berjaya dikesan hasil maklumat yang diperoleh daripada kerjasama strategik dengan Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) untuk mendapatkan akses kepada Sistem Elektronik Perkahwinan Adat (NAMES) yang telah dilaksanakan sejak 14 Dis tahun lalu.

“Pengesanan awal itu dapat mengelak perkahwinan, sekali gus menyelamatkan pihak-pihak seperti isteri dan anak daripada teraniaya,” katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

Fatimah berkata ada peraturan yang menggariskan individu bukan Islam tidak boleh berkahwin lain jika dia masih ada ikatan perkahwinan yang sah di bawah sesuatu undang-undang, agama, adat atau kelaziman dengan mana-mana individu lain.

Ia terkandung dalam Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) (Akta 164) 1976, Bahagian II, Seksyen 5(1) dan Ordinan Adat Bumiputera (Deklarasi) 1966, Majlis Adat Istiadat Sarawak Ordinan 1977, Ordinan Mahkamah Bumiputera 1992, Kaedah-kaedah Mahkamah Bumiputera 1993, Ordinan Perkahwinan Adat Bumiputera Sarawak (Nafkah) 2003 (Bab 55).

Fatimah menjelaskan Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) (Akta 164), Bahagian II, Seksyen 6 juga menetapkan jika seseorang lelaki yang berkahwin, sama ada melalui undang-undang agama, adat atau kelaziman, dan pada masa sama berkahwin lain, isteri baharunya tidak mempunyai hak mewarisi harta lelaki berkenaan apabila dia meninggal dunia dan tidak mewasiatkan apa-apa kepadanya.

Sehubungan itu, beliau berkata untuk memastikan pematuhan kepada akta dan undang-undang yang berkaitan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak akan mengemukakan kertas cadangan kepada Jabatan Ketua Menteri Sarawak agar semua Pejabat Daerah melaksanakan semakan status individu ke atas pasangan yang memohon berkahwin secara adat.

“Kolaborasi dan inovasi melangkau jabatan dan agensi yang diambil JPN Sarawak jelas menunjukkan jabatan berkenaan merupakan model kepada kepada semua jabatan dan agensi lain, selaras dengan matlamat menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Selain itu, ia juga meletakkan keutamaan kepada undang-undang dan peraturan,” katanya.

–BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here