171 anak yatim di Perlis dibawa bercuti

0
206
Advertisement



SERAMAI 171 anak yatim di Perlis meraikan Aidilfitri 2018 dengan bercuti selama tiga hari di Pulau Langkawi bermula semalam.

Program yang ditaja sepenuhnya Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Perlis (MAIPs) itu membabitkan kanak-kanak yang menghuni tujuh rumah jagaan terpilih di negeri itu.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, program yang dirangka khas untuk kanak-kanak terbabit sudah dilakukan setiap tahun sejak 2013 lagi.

“Tujuan utamanya ialah bagi meraikan anak-anak yatim di negeri ini dalam menyambut dan merasai kemeriahan bulan mulia ini.

“Hubungan dengan anak yatim ini bukan sekadar memberi makan dan minum atau pakaian saja, bahkan layanan perasaan melalui cara mendekati mereka dengan penuh rasa cinta dan kasih sayang sebagaimana hubungan kita dengan saudara mara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis Jalinan Syawal Kasih MAIPs Menyantuni Anak Yatim Negeri Perlis Tahun 2018 di perkarangan Masjid Terapung Al-Hussain, Kuala Perlis, semalam.

Baginda juga mahu umat Islam khususnya rakyat di negeri itu bertanggungjawab untuk membantu memperbaiki keadaan anak yatim dengan memberikan pendidikan, bimbingan moral dan menguruskan harta mereka.

“Janganlah dipersiakan insan ini sehingga ada di kalangan mereka terabai, moral menjadi rosak, dianiaya dan hak mereka tidak dibela sebaiknya.

“Beta juga menzahirkan perasaan berterima kasih kepada MAIPs dan penaja yang begitu dermawan dalam merealisasikan program ini khusus untuk mereka (anak yatim),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here