18 tahun dijel, akhirnya pulang Perancis

0
277
Advertisement



JAKARTA: Seorang lelaki Perancis yang merengkok dalam penjara selama 18 tahun kerana menyeludup dadah ke Bali dihantar pulang semalam dalam kes yang mencetuskan kemarahan di negara asalnya.

Polis menahan Michael Blanc sehari selepas Krismas pada 1999 di lapangan terbang pulau peranginan itu bersama 3.8 kilogram ganja disembunyikan dalam bekas selaman skuba dibawanya.

Lelaki yang kini berusia 45 tahun itu pada asalnya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, nyaris dikenakan hukuman mati seperti pesalah dadah asing lain termasuk dua anggota Bali Nine yang dihukum mati pada 2015.

Hukuman penjara Blanc kemudian dikurangkan kepada 20 tahun dan pada 2014, dia mendapat sesuatu yang jarang diterima pesalah asing, parol.

Bekas tukang masak itu tiba di lapangan terbang di sini, diiringi pegawai imigresen Indonesia sambil ditemani ibunya, Helene Le Touzey yang sanggup melepaskan kehidupannya di Perancis dan tinggal hampir dua dekad di Indonesia berkempen membebaskan anaknya.

Kedua-duanya berlepas menaiki pesawat Turkish Airlines jam 9 malam waktu tempatan dan dijangka tiba di Perancis hari ini.

Hukuman penjara seumur hidup itu dijatuhkan mahkamah Indonesia yang menolak dakwaan Blanc dia membawa peralatan diisi dadah untuk rakannya, dikritik Perancis sebagai terlampau tegas.

Paris membawa isu itu ke peringkat lebih tinggi dengan Perdana Menteri Francois Fillon ketika itu mengemukakannya dalam lawatan ke Indonesia pada 2011.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here