2 beradik penyokong tegar Akel Zainal

0
73



Kuala Lumpur: Dua beradik lelaki berusia 23 dan 29 tahun yang bekerja sebagai guru agama dan peniaga dalam talian dikesan aktif menyokong bekas pemuzik kumpulan rock UKAYS, Wan Mohd Aquil Wan Zainal turut dikenali Akel Zainal yang kini menyertai militan Daish di Syria.

Mereka yang turut membantu kumpulan pengganas Daish melalui seorang lagi militan, Muhammad Fudhail Omar bagaimanapun diberkas bersama empat lagi individu dalam operasi khas Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula 23 hingga 26 Mei lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, dua beradik itu masing-masing ditahan di Perak dan Kedah.

Menurutnya, kedua-dua beradik ini adalah saudara kepada Muhammad Fudhail yang dijangka bakal mengambil alih peranan ketua militan Malaysia, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi yang terkorban dalam serangan dron di Raqqa, Syria pada 29 April lalu.

“Polis sebelum itu melakukan tangkapan pertama pada 23 Mei lalu di Rantau Panjang, Kelantan. Penahanan membabitkan suspek, Muhammad Muzafa Arieff Junaidi yang menyerah diri selepas pihak polis mendedahkan kegiatannya kepada media.

“Suspek berusia 27 tahun dan bekerja sebagai penternak lembu dikehendaki polis kerana terbabit dalam aktiviti penyeludupan senjata api untuk kegunaan pengganas Daish di Malaysia,” katanya.

Khalid berkata, suspek diarahkan untuk menyusup masuk ke selatan Thailand melalui Sungai Golok pada 22 Mac bersama dua senjata api model M4 Carbine dan pistol bertujuan menyembunyikan senjata itu bagi mengelak didakwa.

“Tangkapan Muzafa adalah susulan operasi dijalankan pada 21 Mac dan 24 Mac lalu terhadap dua anggota militan, Nik Razanil Izuan Daud dan Mohammad Sabri Mat Zain. Mereka dijatuhkan hukuman lima tahun penjara serta enam sebatan,” katanya.

Beliau berkata, tangkapan kedua membabitkan dua beradik itu diikuti penahanan seorang pesara tentera berusia 54 tahun di Kulim, Kedah pada 25 Mei lalu.

“Suspek keempat itu bertanggungjawab menyalurkan kira-kira RM20,000 kepada Daish di Syria melalui beberapa transaksi. Difahamkan salah seorang anak suspek dikenali sebagai Afif Safwan Auzddin menyertai Daish di Syria.

“Manakala, tangkapan kelima dilakukan pada 25 Mei lalu terhadap dua suspek berusia 31 dan 33 tahun di Selangor dan Kedah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here