2 maut helikopter langgar cenuram

0
32


JAKARTA: Sekurang-kurangnya dua orang dikhuatiri terbunuh manakala beberapa lain dilaporkan hilang apabila sebuah helikopter penyelamat Indonesia terhempas dalam nahas udara terbaru negara itu hari ini.

Seorang pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Sosial Adhy Karyono berkata, helikopter terbabit membawa sekurang-kurangnya lapan orang termasuk empat kru apabila ia terlanggar cenuram di Temanggung, wilayah Jawa Tengah, lewat tengah hari tadi.

“Kawasan nahas terletak di kawasan pergunungan namun lokasinya mudah ditemui dan misi menyelamat sedang dijalankan bagi mengesan mangsa yang masih hilang.

“Kami juga telah menemui dua mayat yang belum dikenal pasti,” katanya.

Menurut siasatan awal, pesawat terbabit sedang melaksanakan misi meninjau di Jawa Tengah bagi melihat letusan kawah gunung berapi di Dataran Dieng tengahari tadi.

Kira-kira lima orang cedera ringan apabila kawah Sileri menghamburkan lahar sejuk, debu dan lumpur setinggi 50 meter, menyebabkan pihak berkuasa segera bertindak pantas mengosongkan lokasi tumpuan pelancong itu.

Indonesia dibebani dengan siri kemalangan udara sejak beberapa bulan lalu dan disahkan memiliki rekod penerbangan yang agak buruk.

Pada Disember lalu, sebuah helikopter tentera terhempas di kawasan terpencil di Kalimantan, mengorbankan tiga orang, namun beberapa minggu kemudian seorang penumpang berjaya ditemui masih hidup. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here