2 tawanan Vietnam dipenggal militan Filipina

0
44


MANILA: Militan Filipina memenggal dua pelayar Vietnam yang menjadi tebusan sejak lapan bulan lalu di selatan Filipina.

Tentera Filipina menemui mayat dua tebusan awal pagi ini di pulau Basilan, kubu kuat kumpulan Abu Sayyaf yang terkenal kerana menculik untuk tebusan itu, kata jurucakap tentera, Kapten Jo-Ann Petinglay.

“Ini adalah langkah terdesak Kumpulan Abu Sayyaf kerana tidak mendapat keuntungan daripada kegiatan penculikan mereka,” kata Petinglay kepada AFP.

Abu Sayyaf, pada asalnya rangkaian militan yang dibentuk pada 1990-an dengan suntikan wang dari rangkaian Al-Qaeda Osama bin Laden, berpecah kepada beberapa puak, dengan sebahagiannya terus terbabit dalam jenayah rompakan dan penculikan.

Salah satu puak yang mengaku taat setia kepada militan Daesh, terbabit menawan sebahagian Marawi, kota Islam yang paling penting di negara Katolik itu.

Militan terus menduduki sebahagian Marawi walaupun serangan tentera yang disokong AS di sana mengorbankan lebih 460 nyawa dan menyebabkan 400,000 lagi menjadi pelarian sejak ia bermula pada Mei lalu.

Kedua-dua warga Vietnam itu ditawan November lalu bersama empat kru kapal Vietnam lain yang turut dinaiki militan dari wilayah selatan Mindanao, kata tentera.

Seorang daripada enam kru diselamatkan bulan lalu dan tiga lagi masih ditawan, kata Petinglay.

Militan Abu Sayyaf kini menahan 22 tebusan, termasuk 16 orang asing, menurut Petinglay. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here