2,000 peserta program eKasih di Tuaran terima NJOI

0
118
Advertisement

KUALA LUMPUR: Lebih 2,000 peserta program eKasih di daerah Tuaran, Sabah, kini berpeluang menikmati rancangan terbaik dalam dan luar negara menerusi lebih 30 saluran TV serta 20 jenama radio apabila mereka memperoleh perkhidmatan TV satelit pecuma NJOI hari ini.

Majlis penyerahan dekoder itu dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, yang juga ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan disaksikan Pengarah Hal Ehwal Komuniti Astro, Datuk David Yap.

Wilfred dalam ucapan perasmiannya berkata dengan saluran-saluran pendidikan NJOI, anak-anak muda — terutamanya mereka daripada keluarga yang susah — dapat memperkayakan ilmu pengetahuan masing-masing dengan lebih mudah.

“Ini sepadan dengan matlamat kerajaan untuk mendedahkan generasi muda kita kepada pengetahuan terkini melalui Pendidikan Digital.

“(Dan) dalam usaha menuju ke arah negara maju, sumbangan daripada pihak swasta amat penting selain membantu pihak kerajaan dalam usaha membangunkan negara,” kata Wilfred.

Dalam catatan yang dimuat naik ke laman Facebook rasminya, Wilfred berkata beliau merakamkan setinggi penghargaan kepada inisiatif Astro ini kerana ia dilihat dapat membantu meningkatkan akses pembelajaran kepada murid-murid daripada keluarga penerima.

NJOI eKasih merupakan sebahagian daripada aspirasi dan inisiatif Astro untuk menjadikan pembelajaran sepanjang hayat, informasi, hiburan serta sukan boleh didapati secara percuma untuk semua rakyat Malaysia. 

NJOI eKasih membekalkan set dekoder NJOI dan langganan bulanan percuma kepada penerima yang disenaraikan dalam pangkalan data program eKasih di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, David berkata Astro bercita-cita untuk terus menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti di negara ini.

“Untuk terus menyumbang ke arah pembangunan komuniti, Astro berharap agar program sebegini dapat diteruskan dalam membantu memastikan rakyat, khususnya, masyarakat Sabah mempunyai akses kepada maklumat yang terkini yang akan membantu dalam pembangunan masyarakat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here