26 tentera maut dalam serangan bom

0
29


KAHERAH: Sekurang-kurangnya 26 anggota tentera Mesir terbunuh atau tercedera dalam satu serangan bom kereta di sebuah pusat pemeriksaan di Semenanjung Sinai yang dikuasai militan Daesh.

Seorang pegawai keselamatan yang enggan dikenali berkata, sekurang-kurangnya tujuh anggota tentera disahkan maut dan jumlah kematian sebenar masih belum boleh diperoleh.

Katanya, pihak tentera berjaya membunuh 40 penyerang dalam pertempuran di Utara Sinai iaitu lokasi utama kejadian.

“Beberapa ambulans sudah dikerah ke tempat kejadian yang terletak di selatan pekan Rafah, bersempadan dengan Semenanjung Gaza,” katanya.

Militan Daesh sudah membunuh ratusan anggota polis dan tentera dalam siri serangan di Utara Sinai sejak presiden Mohamed Morsi digulingkan pada 2013, sekali gus melancarkan operasi memburu semua penyokongnya.

Sementara itu, di utara Kaherah, Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan berkata, seorang anggota polis mati ditembak dua penyerang bersenjata ketika meninggalkan kediamannya.

Selain Daesh di utara Sinai, beberapa kumpulan militan yang lebih kecil turut dikenal pasti melakukan pengeboman dan pembunuhan di ibu negara Mesir itu serta di Lembah Nil.

Pada 2015, semua 224 penumpang pesawat milik Russia yang dalam perjalanan bercuti di Mesir terbunuh selepas diserang militan Daesh. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here