29 maut dalam rusuhan antikerajaan di Venezuela

0
48


PENUNJUK perasaan bertembung dengan polis rusuhan semasa perarakan protes terhadap Presiden Nicolas Maduro di Caracas. – Foto AFP

CARACAS: Pasukan keselamatan Venezuela melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ke arah penunjuk perasaan yang melontar batu di atas jambatan di sini, ketika jumlah kematian akibat rusuhan antikerajaan meningkat kepada 29 orang.

Menurut pegawai dari daerah Chacao di timur Caracas, dalam insiden terbaharu pertempuran yang berlaku di ibu negara Venezuela itu, seorang penunjuk perasaan lelaki berusia 20 tahun terbunuh selepas terkena kanister gas pemedih mata.

Pihak berkuasa turut mengumumkan dua kematian dalam beberapa pertempuran pada awal minggu ini, iaitu mangsa berusia 22 tahun yang mempunyai beberapa kesan tembakan dalam tunjuk perasaan di Valencia.

Seorang lagi mangsa membabitkan penyokong kerajaan berusia 28 tahun yang ditembak di bahagian perut di Tachira.

Gelombang protes menentang Presiden Nicolas Maduro bermula sejak awal bulan ini, hingga mencetuskan keganasan paling teruk di Venezuela sejak 2014.

Penunjuk perasaan mendesak pilihan raya diadakan bagi mengakhiri pemerintahan dua dekad pihak sosialis.

Pada masa sama, krisis ekonomi yang melanda negara di Amerika Selatan itu turut meningkatkan kemarahan rakyat.

“Saya mahu segala-gala berakhir: kelaparan, pembunuhan, rasuah, segala kesakitan yang sedang kami alami.

“Kami akan terus berada di jalanan sehingga semuanya berubah. Kami adalah majoriti,” kata pelajar, Ricardo Ropero, 20, yang menyertai perarakan di Caracas.

Sementara itu, Pertubuhan Negara-Negara Amerika (OAS) mengadakan undian semalam, bagi mengadakan satu mesyuarat khas menteri-menteri luar bagi membincangkan krisis Venezuela.

Sebelum ini, Venezuela mengancam untuk menarik diri daripada kumpulan itu, jika mesyuarat itu diteruskan.

Malah, Menteri Luar, Delcy Rodriguez dalam mesej yang dimuat naik di Twitter, semalam berkata, beliau akan mengumumkan arahan Presiden Maduro, dalam masa terdekat.

Maduro meraih kemenangan tipis dalam pilihan raya pada 2013 menentang calon pembangkang, Henrique Capriles.

Bagaimanapun, krisis ekonomi menjejaskan sokongan rakyat terhadapnya. – Reuters

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here