3 jurulatih pilih Brazil juara

0
144
Advertisement



JUARA lima kali, Brazil menjadi pilihan tiga jurulatih tempatan untuk menjulang Piala Dunia 2018 kerana memiliki pakej lengkap sebagai juara.

Malah, ketiga-tiga pengendali itu, B Sathianathan, Zainal Abidin Hassan dan Irfan Bakti Abu Salim menaruh harapan tinggi agar pasukan itu mampu menamatkan kemarau 16 tahun tanpa kejuaraan selepas kali terakhir melakukannya pada 2002.

“Saya anggap tahun ini adalah masa terbaik untuk Brazil muncul  juara kerana mereka memiliki kekuatan di setiap posisi, dari pertahanan hingga ke penyerang.

“Walaupun dilaporkan baru pulih daripada kecederaan, saya yakin Neymar tetap akan menjadi kunci utama Brazil di Piala Dunia kali ini.

“Selain Neymar, Thiago (Silva) dan (Roberto) Firmino akan menjadi tulang belakang di posisi masing-masing sambil dibantu Marcelo, Pualinho, Willian dan  (Philippe) Coutinho.

“Bila melihat barisan pemainnya, boleh dikatakan semua pemain berpengalaman serta sedang berada pada puncak karier masing-masing. Atas faktor ini saya memilih Brazil untuk muncul juara,” kata Sathianathan yang juga pengendali FELDA United.

Bagaimanapun Sathia melihat Jerman akan menjadi penghalang utama serta turut berpeluang mempertahankan kejuaraan yang dimenangi empat tahun lalu. 

Malah, beliau menjangka pasukan bukan pilihan seperti Belgium dan England juga mampu membuat kejutan.

Bagi Zainal pula, kombinasi samba dan permainan ala Eropah menjadikan Brazil lebih menyerlah serta berbeza daripada pasukan generasi terdahulu.

“Dulu, Brazil banyak bergantung pada kemahiran individu serta corak samba tapi sejak ramai pemainnya beraksi di Eropah, mereka turut menerapkan permainan ala Eropah yang mengutamakan disiplin tinggi serta kerjasama berpasukan.

“Tapi tidak dinafikan, pemain seperti Neymar sangat diperlukan dalam sesebuah pasukan kerana dia mampu menjadi pencetus kejayaan.

“Sebagai penyokong Brazil, saya memang menaruh harapan tinggi mereka mampu menjulang piala. Sudah lama mereka tidak muncul juara,” ujar Zainal.

Pengendali Pulau Pinang itu meletakkan Jerman, Portugal, Belgium, England dan tuan rumah, Russia sebagai pencabar utama.

Sementara itu, jurulatih Terengganu, Irfan Bakti menganggap Brazil sudah belajar daripada kesilapannya terutama kekalahan 1-7 kepada Jerman di separuh akhir Piala Dunia 2014 dan yakin mereka tidak akan mengulanginya kali ini.

“Barisan kali ini lebih matang dan berdisiplin di bawah bimbingan Tite. Malah jurulatih baharu itu berjaya menerapkan corak permainan yang mantap dan menarik.

“Jerman sekali lagi akan jadi penghalang utama. Sesuatu yang menarik mengenai pasukan ini adalah mereka tidak memiliki pemain bintang setaraf Neymar, (Cristiano) Ronaldo atau (Lionel) Messi, namun terkenal dengan semangat berpasukan serta kerja keras,” ulas Irfan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here