3 pakar siasat kekejaman tentera Myanmar

0
31


GENEVA: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menamakan tiga pakar bebas untuk menyiasat dakwaan meluas pembunuhan, rogol dan dera oleh pasukan keselamatan Myanmar ke atas Muslim Rohingya di Rakhine.

Presiden Majlis Hak Asasi Manusia PBB, Joaquín Alexander Maza Martelli dalam satu kenyataan berkata, misi antarabangsa pencarian fakta itu akan dipengerusikan Indira Jaising, seorang penyokong Mahkamah Agung India.

Misi itu akan mendapatkan akses ke Myanmar, di mana tentera minggu lalu menolak dakwaan penderaan ketika tindakan keras tahun lalu yang menyaksikan kira-kira 75,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

PBB menggesa kerajaan Myanmar ‘bekerjasama sepenuhnya’ dengan berkongsi penemuan siasatan domestik serta memberi akses penuh, tanpa had dan tanpa pengawasan.

Dua lagi pakar bebas itu adalah Radhika Coomaraswamy, seorang veteran hak asasi manusia dan peguam dari Sri Lanka serta aktivis Australia, Christopher Sidoti, kata kenyataan PBB dikeluarkan selepas berunding secara sulit dengan forum 47 anggota.

Majlis itu bersetuju menubuhkan misi pencarian fakta Mac lalu dalam satu resolusi mengutuk secara keras pelanggaran dan menggesa ‘pelaku bertanggungjawab serta keadilan buat mangsa.’

Satu laporan PBB Februari lalu berkata, pasukan keselamatan Myanmar melakukan pembunuhan beramai-ramai, merogol secara berkumpulan dalam kempen menyamai jenayah kemanusiaan dan kemungkinan pembersihan etnik.

Laporan oleh Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB adalah berdasarkan temuramah meluas dengan etnik Rohingya di Bangladesh. – Reuters

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here