38 tahun penuh bermakna

0
56



Berkhidmat selama 38 tahun dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) adalah satu perjalanan hidup dan kerjaya yang cukup panjang lagi menggembirakan buat penyampai radio Omar Osman, 63.

Sebelum mengakhiri tugasan terakhirnya sebagai tenaga pengajar di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) di Angkasapuri, Kuala Lumpur, Omar yang juga dikenali sebagai OO, selama 25 tahun mengabdikan diri sebagai DJ di beberapa saluran radio di RTM termasuk di Nasional FM dan KLFM serta menjadi pembaca berita.

Menyorot perjalanannya yang panjang bersama RTM sehinggalah dia bersara pada usia 60 tahun tiga tahun lalu, Omar akui dia amat berpuas hati dengan segala kurniaan Allah SWT kepadanya.

“Saya pernah memiliki kerjaya yang bagus, keluarga bahagia, kesihatan yang baik, dapat mengharungi baki usia dengan dikelilingi anak dan lima cucu. Meskipun saya tidak dikurniakan harta berjuta, saya masih bahagia,” ujarnya.

Menurut Omar, walaupun dia sudah bersara itu tidak bermakna aktiviti hariannya terhenti.

“Saya bukan jenis orang seperti itu kerana selama 38 tahun, sebaik saja celik mata pada awal pagi, terus bersiap-siap ke pejabat dan rutin yang sekian lama sebati dalam hidup itu tidak boleh terus ditinggalkan.

“Sama seperti kereta, jika tiba-tiba dibiarkan ia tersadai dalam garaj pasti akan rosak. Oleh itu saya aktif dalam kerja kemasyarakatan.

“Membantu mereka yang memerlukan bantuan daripada kebajikan masyarakat, Baitulmal, Lembaga Zakat Selangor dan sebagainya.

“Hari dan waktu selebihnya saya bersama keluarga, bermain dengan cucu dan melancong ke luar negara dengan isteri (Shariffah Suraya Syed Omar),” katanya.

Menyelongkar isi hatinya terhadap kerjaya DJ yang sudah ditinggalkannya, ujar Omar, setiap hari dia merinduinya.

Lalu sempena ulang tahun RTM ke-71 yang disambut pada 1 April lalu, RTM menjemputnya ke udara semula di konti.

Ujar Omar lagi, suasana dalam konti dulu dan sekarang banyak beza kerana dulu semuanya manual atau analog tetapi sekarang bersifat digital.

“Bagaimanapun saya bertuah kerana melalui pelbagai proses perubahan daripada zaman mesin taip sehingga munculnya teknologi komputer. Daripada album dalam bentuk EP, LP, CD besar dan kecil. Sekarang DJ ‘klik’ di hujung jari saja terus keluarlah bahan siaran,” katanya.

Nasihat Omar kepada penyiar baru terutama yang berkhidmat di RTM, mereka mestilah peka dengan sebarang perubahan yang berlaku.

“Mereka perlu bersaing dengan radio swasta yang bergerak pantas, oleh itu mereka mesti bersedia untuk menerima teknologi baru,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here