39 penumpang terperangkap lebih 4 jam di Tiger Sky Tower di Sentosa

0
26

SINGAPURA: Tiga puluh sembilan penumpang dilapor terperangkap di atas menara Tiger Sky Tower di Sentosa petang Sabtu.

Menurut satu kenyataan oleh Angkatan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) di Facebook, kejadian dimaklumkan kira-kira jam 7.10 malam dan hingga jam 10 malam ini, kerja-kerja menyelamat masih dijalankan.

Penumpang di menara berputar itu dipercayai terperangkap sejak jam 5:35 petang ini. Mereka dibekalkan makanan ringan berupa biskut dan air minuman sementara menunggu diselamatkan.

Sentosa Development Corporation (SDC) dalam satu kenyataan berkata operasi Sky Tower digantung pada jam 5.35 petang ini susulan masalah mekanikal.

“Ketika kejadian, 38 penumpang dan seorang operator berada di dalam gondola. Staf teknikal Sky Tower di lokasi bergegas memulih semula sistem.

“Air botol dan makanan diedar kepada tetamu ketika jurutera dari Sky Tower berusaha menurunkan gondola. Kapsul itu juga ada tandas mudah alih,” kata SDC.

Menurut laporan portal Straits Times, Sentosa Rangers dipanggil bagi membantu jurutera Sky Tower menurunkan gondola secara manual.

Tambah SDC, punca kejadian sedang disiasat dan menara berputar Tiger Sky Tower ditutup sehingga diberitahu kelak.

Tiada kecederaan dilaporkan.

Pada ketinggian 131 meter dari paras laut, menara berputar yang terletak di Jalan Imbiah ini ialah menara pemerhatian tertinggi di sini, menurut laman web Sentosa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here