5 anggota keselamatan maut dalam misi menyelamat

0
26


NAIROBI: Lima anggota keselamatan terbunuh dalam operasi menyelamatkan seorang pegawai kanan kerajaan yang disyaki diculik militan Shabaab.

Sumber keselamatan berkata, sekumpulan lelaki bersenjata menculik Ketua Jabatan Kerja Raya Kementerian Infrastruktur Kenya, Miriam El Maawy, di daerah Lamu, timur Kenya pada jam 4.00 petang (waktu tempatan), semalam.

Satu operasi keselamatan bersama membabitkan polis dan tentera dilancarkan dan Maawy berjaya diselamatkan, selepas kereta yang membawa beliau hilang kawalan ketika dipandu laju ke arah sempadan Somalia.

“Insiden berbalas tembakan berlaku antara kumpulan penculik dan pasukan keselamatan mengakibatkan empat polis atau tentera dan seorang pengawal peribadi Maawy terbunuh,” kata seorang pegawai polis kanan kepada AFP.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Kenya, Joseph Awuoth mengesahkan Maawy berjaya diselamatkan, namun tidak memberikan butiran lanjut mengenainya.

Militan Shabaab mahu menggulingkan kerajaan disokong pihak antarabangsa di Mogadishu dan sering melakukan serangan di Kenya yang turut menempatkan tenteranya di Somalia sebagai sebahagian daripada angkatan Kesatuan Afrika.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kumpulan itu meningkatkan serangan di Lamu, ketika Kenya bersiap untuk Pilihan Raya Presiden pada 8 Ogos depan. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here