5 naskhah teater dalam Resiprokal

0
26



Nama Yusof Bakar terkenal sebagai aktivis teater yang aktif mengadakan persembahan di Pulau Pinang dan ibu negara.

Terbaru, Yusof menerusi persatuan teater Bakawalee Penang akan mementaskan teater Resiprokal di Studio Revolution Stage, Dataran Pelangi Utama, Jalan Masjid, Petaling Jaya pada 12 hingga 16 Julai ini, jam 8.30 malam.

Yusof berkata, Resiprokal adalah sebuah kompilasi yang menghimpunkan lima naskhah teater karyanya.

“Ia merangkumi tiga teater pendek iaitu Pukat Deduktif, Pengusir dan We Only Need Beberapa Minit yang memaparkan permasalahan sosiologi masyarakat.

“Pukat Deduktif berhujah mengenai manusia yang mencari alasan mengikut logik akal untuk melakukan dosa, manakala Pengusirpula visi saya mengenai masa hadapan masyarakat apabila hedonistik sudah sah di sisi undang-undang dan We Only Need Beberapa Minit mengupas sifat tak peduli manusia terhadap penyeludupan organ secara haram,” katanya.

Dua lagi naskhah yang akan dipentaskan pula berbentuk monodrama/monolog iaitu Duri-duri Hati: Kisah Malim dan In Utero: Pseudocyesis.“Kedua-dua naskhah ini menyelongkar permasalahan psikologi manusia dalam usaha untuk membuat keputusan.

“Duri-duri Hati: Kisah Malim memperlihatkan dilema Malim terpaksa mencari wang hantaran yang banyak untuk mengahwini tunangnya, Puteri dalam masa yang singkat,” katanya.

Manakala, In Utero: Pseudocyesis pula merungkai mengenai Janet Lin Abdullah yang menghidap sindrom pseudocyesis iaitu kehamilan palsu. Beliau di dalam penafi an dan tetap mempertahankan dia benar-benar mengandung.

“Semua teater ini pernah dipentaskan di bawah teater 10 Atas 10 di Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) Pulau Pinang pada 2015, Projek Alga di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang (2016) dan Merdeka With Faridah di PenangPac (2016).

“Setiap pelakon yang terbabit dalam Resiprokal kali ini akan mendukung lebih empat watak di dalam setiap monolog/monodrama,” katanya.

Mengulas nama Resiprokal, Yusof berkata ia bermaksud menerima, merasa atau membuat sesuatu sebagai balasan.

“Resiprokal juga bermaksud persamaan, persefahaman, perkongsian, melengkapi di antara dua pihak.

“Oleh kerana teater ini bakal dijayakan oleh dua pelakon iaitu Natasha Al-Haq dan Abrar Asraf maka adalah penting mereka saling berbalasan serta bereaksi dengan baik antara satu sama lain,” terangnya.

Yusof meletakkan harapan kepada penonton yang bakal menyaksikan persembahan ini agar sama-sama mencari maksud di sebalik maksud yang ingin disampaikan menerusi setiap naskhah.

“Meskipun cerita dan makna disampaikan secara terus, ia sebenarnya bertujuan menjentik pemikiran separa sedar penonton.

“Saya berhasrat membina khalayak teater yang tak pasif akal dan tinggi pemikiran.

Teater tak sepatutnya hanya dianggap medium hiburan semata-mata tetapi juga ruang untuk membangunkan minda masyarakat,” katanya.

Resiprokal adalah produksi teater ke-41 terbitan Bakawalee Penang dan menjadi pementasan kelima mereka di Lembah Kelang selepas Devian Dogma, Dusta Pada Skala 1 Hingga 10, Perhiasan Kaca dan Monodrama Manusia Raja: Amuk.

Sebarang pertanyaan boleh dibuat menerusi Facebook, Instagram dan Twitter: Bakawalee Penang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here