50 individu ditahan di Johor dipercayai terlibat 'Macau Scam'

0
53



KUALA LUMPUR: Seramai 50 individu yang dipercayai terlibat dengan aktiviti penipuan ‘Macau Scam’ ditahan dalam serbuan berasingan di enam banglo mewah di sekitar Johor pada Rabu.

Dalam serbuan oleh sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri itu, polis menahan 27 lelaki dan 16 wanita China, lima warga Taiwan serta seorang lelaki dan wanita tempatan yang kesemuanya berusia antara 20 dan 35 tahun.

Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) JSJK Datuk Mohd Kamaruddin Md Din berkata dua warga tempatan yang ditahan disyaki berperanan mengurus operasi sindiket seperti membuat sewaan rumah, pemandu dan sebagainya.

Beliau berkata individu lain yang ditahan pula bertindak menghubungi dan memperdayakan mangsa.

“Polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Vellfire, 46 telefon bimbit pelbagai jenama, 10 iPad, lima modem, enam router dan barangan lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket itu memperdaya mangsa yang terdiri daripada rakyat Taiwan dengan menghubungi mereka dan menyamar sebagai pegawai syarikat telekomunikasi negara tersebut.

“Mangsa akan dimaklumkan mempunyai hutang internet yang besar dan diminta menyelesaikannya segera dengan cara membuat pemindahan wang ke dalam akaun yang ditetapkan di Taiwan,” katanya.

Mohd Kamaruddin berkata modus operandi sindiket itu ialah menggunakan kemudahan VoIP (Voice Over Internet Protocol) untuk menipu mangsa dan dikesan menjadikan negara ini sebagai pangkalan menipu rakyat asing.

“Penggunaan negara ini sebagai pangkalan untuk kegiatan penipuan merupakan perkara yang serius kerana ia secara tidak langsung mencemarkan nama baik Malaysia,” katanya.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan reman empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman Twitternya mengucapkan tahniah kepada JSJK di atas kejayaan tersebut.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here