5,000 mat motor berkumpul di masjid

0
79



Kepala Batas: Penganjuran Islamic Bike Fest (IBF 2.0) 2017 di pekarangan Masjid Abdullah Fahim, Bertam, dekat sini, bukan saja menarik penyertaan lebih 5,000 mat motor termasuk dari negara jiran, Thailand dan Singapura, malah berjaya mengubah imej negatif sering dilemparkan kepada golongan berkenaan.

Keunikan program berkenaan ialah peserta bukan saja menyertai pertunjukan motosikal seperti aksi ‘stunt’ dan pameran motosikal klasik, tetapi turut dihidangkan dengan ceramah agama oleh beberapa penceramah terkenal.

Imam masjid itu Zulkhairy Ramli berkata, program berkenaan yang diadakan kali kedua dengan kerjasama Northern Versys Owner Group (NVOG) mendapat sambutan luar biasa kerana turut disertai pemilik motosikal berkuasa tinggi dari negara jiran berbanding kali pertama diadakan pada 2015.

Katanya, sebelum aksi ‘stunt’, seramai 700 penunggang motosikal menyertai Ride Amal ke Masjid Sembilang, Seberang Jaya dan memberi sumbangan kepada 30 keluarga asnaf.

“Pada masa sama, seramai 250 orang menyertai Kayuhan Silaturrahim bermula di Vision Park. Bagaimanapun, semua acara dihentikan setiap kali masuk waktu solat bagi mendidik masyarakat agar menghormati kewajiban umat Islam.

“Semua program berkenaan bertujuan mendekatkan golongan muda dengan masjid sekali gus memberi imej positif kepada ‘bikers’,” katanya.

Katanya, pihaknya mengundang penceramah yang mempunyai pengikut dalam kalangan anak muda seperti Jafri Abu Bakar, Ali XPDC, Izo XPDC, Zul Yahya selain pelakon, Shamsul Ghau Ghau bagi memeriahkan program.

“Kami mengundang Ali XPDC dan Izo XPDC kerana mereka bukan saja sudah ‘berhijrah’ tetapi turut mempunyai peminat dalam kalangan anak muda. Melalui cara itu, diharapkan jejak mereka diikuti anak muda lain dengan melakukan penghijrahan hakiki,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here