7 pemain hoki wanita negara ke Eropah

0
489
Advertisement



KUALA LUMPUR: Seramai tujuh pemain skuad hoki wanita negara kendalian Dhaarma Raj Abdullah bakal berkelana di Scotland, Itali dan Jerman selepas berakhirnya Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

Apa yang menariknya, kali ini pemain berkenaan bukan berlepas ke Eropah sebagai pemain percubaan tetapi dipilih berdasarkan merit untuk mengembangkan karier mereka sekali gus pengiktirafan terbesar buat arena hoki wanita tempatan.

Tiga pemain iaitu Raja Sharina Raja Shabuddin, Surizan Awang Noh dan Nuraslinda Said akan ke Glasgow, Scotland mewakili pasukan Uddingston, sementara Hanis Nadiah Onn dan Wan Norfaiezah Saiuti bersama Wespen Zehlendorfer yang bersaing dalam saingan utama Liga Jerman.

Dua lagi iaitu Nuraini Rashid dan Fatin Shafika Sukri pula ke Napoli, Itali.

Mengulas lanjut mengenainya, Dhaarma Raj yang gembira dengan situasi berkenaan, berkata: “Semua pemain ini mendapat pelepasan daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk beraksi di luar negara kerana selepas Sukan Asia tiada kejohanan terdekat, kecuali perlawanan persahabatan.

“Saya juga mempunyai rancangan untuk menghantar 10 lagi pemain ke kelab asing dan apabila mereka pulang dengan pengalaman, kita boleh melihat kemajuan yang lebih hebat buat pasukan wanita.”

Satu-satunya program yang menanti Malaysian Tigress – pada tahun ini – selepas temasya di Jakarta-Palembang adalah kunjungan skuad Kanada yang dijangka tiba pada Disember.

“Pemain-pemain muda dalam pasukan saya masih bersekolah dan terbabit aktiviti lain. Jadi mereka tidak berada dalam perancangan untuk dihantar ke luar negara, tetapi kami akan melihat masa yang lebih sesuai untuk menghantar mereka juga ke sana.

“Saya sebelum ini pernah melatih skuad hoki lelaki negara dan secara perbandingannya, pemain wanita dilihat lebih teruja dan komited untuk beraksi bersama kelab asing. Ia amat mudah untuk meyakinkan mereka untuk mencuba nasib di Eropah bagi menimba pengalaman,” kata Dhaarma Raj.

Di Sukan Asia, skuad wanita negara diundi dalam Kumpulan A bersama China, Jepun, Hong Kong dan Taiwan.

Dhaarma Raj percaya anak-anak buahnya mempunyai peluang cerah untuk mara ke separuh akhir, apatah lagi persembahan terbaharu mereka berdepan Jepun dan China amat menggalakkan.

Dalam tiga pertemuan terakhir dengan Jepun, Malaysia berjaya melakar dua kemenangan dan turut berjaya mengecilkan jurang kekalahan kepada China.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here