8 anggota penyelamat maut

0
28


BANGKAI helikopter yang hancur di kawasan Pegunungan Butak, Temanggung, Jawa Tengah. – Foto Media

JAKARTA: Semua lapan anggota pasukan Badan Mencari dan Menyelamat (Basarnas) yang dilaporkan hilang bersama sebuah pesawat helikopter semalam, telah ditemui dan disahkan maut.

Media dalam talian memetik Ketua Basarnas Jawa Tengah, Agus Haryono, sebagai berkata, mayat mereka ditemui dalam bangkai pesawat yang hancur di kawasan Pegunungan Butak, Temanggung, Jawa Tengah.

Mayat mereka dibawa ke Hospital Bhayangkara Semarang dan telah dikenal pasti oleh keluarga masing-masing serta Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Polis Daerah Jawa Tengah.

Empat daripada mangsa ditemui di tempat kejadian, semalam, manakala empat lagi ditemui pagi tadi.

Mereka yang terkorban dikenali sebagai juruterbang dan pembantunya, Haryanto dan Li Solihin serta dua kru pesawat itu Hari Marsono dan Budi Santoso.

Empat lagi adalah anggota pasukan penyelamat Basarnas ialah Maulana Afandi, Nyoto Purwanto, Budi Resti dan Catur.

Dalam kejadian itu, lapan anggota Basarnas, termasuk kru helikopter jenis Dauphin dilaporkan hilang pada jam 4 petang semalam selepas beberapa minit berlepas dari pusat operasi Basarnas Jawa Tengah bagi misi bantuan di kawasan Kawah Sileri, di Dieng, daerah Banjarnegara di Jawa Tengah.

Pesawat jenis Dauphin AS 36165 buatan PT Dirgantara Indonesia itu adalah antara pesawat terbaik yang digunakan oleh Basarnas dalam operasi mencari dan menyelamat.

Pesawat itu dipercayai merempuh tebing di Gunung Butak, Temanggung berikutan kabut tebal.

Sementara itu, Kawah Sileri itu dilaporkan meletus semalam dan dilaporkan masih mengeluarkan debu volkanik setinggi lebih 50 meter.

Pihak berkuasa telah mengeluarkan arahan supaya penduduk di sekitar radius 100 meter meninggalkan kawasan kawah gunung berapi itu dengan segera.

Kawah Sileri adalah antara destinasi pelancongan alam di Dataran Tinggi Dieng di Jawa Tengah kerana kawah gunung berapi itu mendatar dan air dalam kawah yang mendidih dapat dilihat dengan jelas.

Kawah itu pernah meletus beberapa kali serta mengeluarkan gas beracun dan letusan pada tahun 1979 menyebabkan 149 orang maut kerana terhidu gas beracun dari kawah itu. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here