8 bom zaman perang akan dimusnah

0
34


PANAMA CITY: Amerika Syarikat akan memusnahkan lapan bom kimia era Perang Dunia Kedua yang ditinggalkan di Panama beberapa dekad yang lalu.

Keputusan itu diumumkan semalam, menerusi satu projek yang mendapat sokongan Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW).

“Amerika Syarikat dijangka memusnahkan lapan bom itu pada akhir tahun ini mengikut satu perjanjian dengan Panama dan OPCW akan memantau proses berkenaan,” kata jurucakap Kementerian Luar.

Sementara itu, bom terbabit dilaporkan berada di sebuah pulau dinamakan San Jose di pesisir selatan Panama di Lautan Pasifik.

Difahamkan, Amerika Syarikat pernah menjalankan ujian gas mustard, fosgen, iaitu gas beracun tanpa warna yang sering digunakan dalam Perang Dunia Pertama, selain lain-lain senjata kimia untuk kegunaan semasa Perang Dunia Kedua dan Perang Vietnam.

Amerika Syarikat masih mempunyai beberapa pangkalan tentera di Panama, sejak tamatnya pembinaan Terusan Panama pada 1914 sehingga pengundurannya dari negara itu pada 1999.

Selepas Perang Dunia Kedua, pulau San Jose menjadi lokasi pelbagai ujian tentera Amerika Syarikat, Britain dan Kanada.

Sebelum ini, OPCW pernah menggesa supaya lapan bom yang ditemui di pulau itu pada 2002, dalam satu pemeriksaan, dimusnahkan.

Proses itu dijangka memakan masa antara enam ke lapan minggu mulai September ini dan perjanjian berkenaan membolehkan Panama dikeluarkan daripada senarai hitam OPCW.

Amerika Syarikat dan Panama sudah mengadakan perbincangan mengenai nasib bom itu sejak bertahun-tahun lamanya.

Mengikut rancangan asal, aktiviti pemusnahan sepatutnya sudah dilaksanakan pada 2013, namun usaha itu gagal kerana Amerika Syarikat gagal menyediakan peruntukan bagi membiayainya. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here