8 maut ditimbus apartmen runtuh

0
30



Rome: Lapan mangsa ditemui mati akibat ditimbus selepas sebuah apartmen empat tingkat tiba-tiba runtuh di Naples, selatan Itali kelmarin.

Jurucakap bomba berkata, semua mayat mangsa ditemui selepas pasukan penyelamat berusaha sepanjang malam menggali sisa runtuhan.

Pasukan penyelamat hanya menggunakan tangan untuk mengalihkan sisa konkrit selepas dua tingkat bangunan itu runtuh.

Mayat terakhir ditemui anggota penyelamat pada awal pagi semalam selepas operasi mencari berjalan sepanjang malam.

Apartmen menghadap laut yang terletak di bandar Torre Annunziata dan dibina pada 1950-an itu runtuh pada jam 6.20 pagi (waktu tempatan) kelmarin.

Pasukan penyelamat memberitahu, seramai lapan mangsa dilaporkan hilang.

“Kami berjaya menemui semua mangsa. Semua mangsa ditemui mati,” kata jurucakap bomba, Luca Cari semalam.

Menurutnya, dua beradik yang berusia 14 dan lapan tahun antara mangsa ditemui mati dalam tragedi berkenaan.

Penduduk memberitahu, kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan di tingkat bawah bangunan itu sebelum kejadian berkenaan.

“Sangat jelas bangunan ini berada dalam keadaan yang teruk. Saya kesal kerana tiada pegawai perbandaran yang mengawasi bangunan ini,” kata Datuk Bandar Vincenzo Ascione.

Pendakwa raya tempatan berkata, pihak berkuasa membuka siasatan bagi mencari punca bangunan itu runtuh dan mendakwa mereka yang didapati cuai. – Agensi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here