8 pemain kena buang

0
376
Advertisement



PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM), hari ini menggugurkan lapan pemain daripada skuad kebangsaan dalam usaha badan induk itu mengorak langkah ke hadapan selain memastikan hanya pemain yang benar-benar layak berada dalam pasukan. 

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM, Datuk Ng Chin Chai, berkata secara keseluruhan 12 pemain meninggalkan badan induk itu termasuk empat pemain yang sudah menghantar peletakan jawatan mereka sebelum ini. 

“Sebelum mesyuarat hari ini, BAM mempunyai 67 pemain dengan empat pemain sudah menghantar surat peletakan jawatan iaitu Tee Jing Yi, Soong Fie Cho, Chooi Kah Ming dan Low Juan Shen. Kami juga menggugurkan lapan pemain, jadi secara keseluruhan 12 pemain meninggalkan BAM. 

“Namun, kami tidak boleh dedahkan lagi nama pemain yang digugurkan kerana jurulatih akan memaklumkan kepada pemain terlebih dahulu. 

Selepas keputusan ini dibuat, BAM kini hanya tinggal 55 pemain dan mungkin akan bertambah pada hujung tahun ini tetapi kami cuba untuk memastikan skuad kebangsaan terdiri daripada 60 pemain,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat C&T di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, hari ini. 

Chin Chai, berkata pengguguran itu membabitkan dua pemain daripada acara perseorangan lelaki, empat (beregu lelaki) dan dua (beregu wanita). 

“Apa yang saya boleh katakan, semua pemain yang digugurkan ini, kami percaya mereka sudah tidak boleh melangkah jauh lagi selepas penilaian dibuat oleh jurulatih ke atas mereka,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Chin Chai memaklumkan BAM meletakkan sasaran satu pingat pada Kejohanan Dunia di Najing, China bermula 30 Julai hingga 5 Ogos ini dengan acara perseorangan lelaki, beregu lelaki dan beregu campuran disandarkan harapan merealisasikan misi itu. 

BAM turut memberi kebenaran semula kepada pemain profesional untuk menyertai kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 300 ke atas berbanding sebelum ini dengan tiga syarat iaitu pemain yang sudah meletak jawatan atau digugurkan daripada BAM, pemain berusia 25 tahun ke atas dan kedudukan ranking dunia 200 ke bawah. 

Badan induk itu juga akan menjalankan ujian merokok kepada semua pemain kebangsaan tiga bulan sekali bagi memastikan semua pemain bebas daripada tabiat tidak sihat itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here