9 suspek ditahan kes disimbah air panas

0
76



Sungai Buloh: Dua lagi suspek lelaki ditahan polis kelmarin, bagi membantu siasatan kes rusuhan membabitkan seorang pemuda diseksa dan disimbah air panas di Kampung Paya Jaras Hilir, Sabtu lalu.

Sekali gus menjadikan sembilan suspek ditahan polis berhubung kes kejam itu sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Somu Subramaniam berkata, kedua-dua suspek ditahan di dua lokasi berasingan di Kota Damansara, Petaling Jaya dan Paya Jaras di sini, antara jam 5 dan 8 malam.

Menurutnya, kedua-dua suspek berusia lingkungan 40 tahun.

“Kedua-dua suspek direman tiga hari untuk siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. Polis mengesan beberapa suspek serta saksi bagi membantu siasatan,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam kejadian Sabtu lalu, polis menahan tujuh lelaki termasuk suspek utama berusia lingkungan 30 hingga awal 50-an sejurus menerima laporan berhubung kejadian penderaan itu.

Mangsa, Mohd Norarif Ab Latif, 25, parah dibelasah sekumpulan 10 hingga 15 lelaki bersenjatakan rotan dan kayu.

Malah, mangsa turut melecur tahap dua sebanyak 12 peratus di badan serta muka akibat dijirus air panas oleh kumpulan lelaki itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here