95% kes mahkamah sivil, komersil selesai ikut tempoh

0
60



Sebanyak 95 peratus kes sivil dan komersil di mahkamah-mahkamah di seluruh negara dapat diselesaikan mengikut tempoh masa ditetapkan, kata Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif.

Beliau berkata kesemua kes berkenaan diselesaikan tidak sampai setahun selepas didaftar bagi mengelak kes tertangguh lama seperti sebelum ini.

“Kes sivil dan komersil ditetapkan untuk diselesaikan dalam tempoh sembilan bulan… kini, tidak sampai 3,000 kes masih belum diselesaikan berbanding lebih 10,000 kes sebelum ini.

“Dari segi mengurangkan kes tertunggak, saya rasa kita berjaya melaksanakannya… cuma, masalah kita bagaimana untuk menyelesaikan baki kes lain,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok hari ini.

MoU itu dimeterai oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (KPMPM) yang diwakili Ketua Pendaftar Datuk Seri Latifah Mohd Tahar dan UUM yang diwakili Naib Canselornya Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak. Turut hadir Hakim Utama Mahkamah Tinggi Alor Setar Datuk Hashim Hamzah.

MoU itu membolehkan KPMPM dan UUM menjalinkan kerjasama dalam bidang pendidikan yang melibatkan perkhidmatan kehakiman dan perundangan, latihan berterusan dan pembelajaran.

Menjelas lanjut, Md Raus berkata bagi kes jenayah terutamanya yang melibatkan hukuman mati di Mahkamah Tinggi, ia mesti diselesaikan dalam tempoh setahun manakala di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, masing-masing perlu diselesaikan dalam sembilan bulan.

“Sebelum kita buat perubahan ini, kes hukuman mati mengambil masa 10 hingga 15 tahun untuk tiba di Mahkamah Persekutuan,” jelas beliau.

Menurutnya satu perbincangan dengan Majlis Peguam telah diadakan bagi membincangkan bagaimana kes-kes di mahkamah dapat dipercepatkan dan berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama untuk melaksanakannya.

Ketika berucap di majlis itu, Md Raus berkata objektif utama MoU itu adalah untuk menjalinkan kerjasama yang dapat meningkatkan profesionalisme baik di pihak mahkamah dan universiti.

“MoU ini merupakan satu kerjasama strategik yang memberikan kebaikan kepada pegawai-pegawai mahkamah untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi bagi memastikan pembelajaran berterusan,” katanya.

MoU itu juga memberikan tumpuan kepada sembilan skop kerjasama antara kedua-dua pihak antaranya kemudahan penyelidikan dan perkongsian ilmu, penempatan pelajar dan anggota akademik secara sangkutan di mahkamah dan penggunaan kemudahan elektronik bagi tujuan penyelidikan dan pembelajaran.

Selain itu, ia menguntungkan pensyarah dan pelajar undang-undang yang ingin mendapatkan tunjuk ajar secara terus daripada hakim-hakim dan pegawai kehakiman, katanya.

– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here