Abang Johari ingatkan masyarakat tidak main isu kaum, agama

0
64

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Openg hari ini mengingatkan mereka yang berkenaan agar tidak membangkitkan isu kaum dan agama dalam soal pelantikan anggota lembaga pengarah Petros. 

Ini kerana katanya, mereka yang dilantik adalah individu yang sangat berpengalaman dalam industri minyak dan gas termasuk Mohd Medan Abdullah yang merupakan keturunan Kelabit yang beragama Islam, sekali gus menjawab kritikan berhubung ketiadaan wakil Dayak dalam syarikat itu.

Sebenarnya sudah ada wakil Dayak dalam Petros iaitu Mohd Medan, katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai siapa daripada kaum Dayak yang akan dilantik ke dalam Lembaga Pengarah Petros.

Baru-baru ini Abang Johari mengumumkan pelantikan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak yang pernah berkhidmat dengan Malaysia LNG Sdn Bhd, Tan Sri Hamid Bugo sebagai Pengerusi Petros bersama-sama Mohd Medan, Sharbini Suhaili, Zuraimi Sabki dan Heng Hock Heng sebagai anggota lembaga pengarah.

Bagaimanapun, terdapat segelintir pihak daripada komuniti Dayak yang mengkritik tidak ada wakil mereka dalam syarikat minyak milik kerajaan negeri itu.

Susulan kritikan itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Douglas Uggah Embas berkata beliau telah ditugaskan oleh Ketua Menteri untuk mengenal pasti calon yang layak daripada komuniti Dayak.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata pelantikan lembaga pengarah yang berkelayakan akan memastikan Petros dapat mara di landasan yang strategik selain beroperasi menurut model perniagaan yang kukuh bagi memastikan objektif penubuhannya tercapai.

Beliau juga menegaskan syarikat minyak milik kerajaan negeri itu tidak akan menjadi rakan kongsi junior Petronas.

Penubuhan Petros akan membolehkan kerajaan negeri Sarawak terlibat dalam sektor industri huluan minyak dan gas terutama dalam penerokaan dan penggalian minyak dan gas di perairan negeri.

Syarikat itu kini sedang mengenal pasti individu berkelayakan bagi mengisi beberapa lagi jawatan utama termasuk ketua pegawai eksekutif bagi membolehkannya beroperasi menjelang suku pertama tahun depan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here