Abby buat keputusan tepat

0
397
Advertisement



KUALA LUMPUR: Keputusan pertahanan muda, Nor Asfarina Isahyifika Issahidun membuat pusingan U dengan menyertai semula kem latihan hoki negara boleh dianggap tepat apabila kembali terpilih bagi menghadapi lima siri persahabatan di Brisbane, Australia bermula Isnin hingga 29 Julai ini.

Tanda tanya mengenai pemain berusia 17 tahun itu tercetus pada Mac lalu apabila ‘hilang’ daripada sesi latihan skuad Malaysian Tigress sebaik pulang dari saingan Trofi Juara-Juara Asia di Donghae, Korea Selatan yang menjadi pentas sulung kompetitifnya.

Namun, masalah itu selesai sebaik dia melaporkan diri pada sesi latihan hanya seminggu selepas skuad negara menjuarai Pusingan Pertama Siri Hoki Dunia di Singapura, awal bulan ini.

“Memang saya gembira kerana terpilih dalam skuad 20 pemain ke Brisbane sekali gus mencerahkan peluang saya disenaraikan ke Sukan Asia, Ogos depan kerana ia menjadi medan terakhir pemilihan,” kata Asfarina yang lebih mesra disapa dengan Abby.

“Kini hanya tinggal untuk saya buktikan kepada pengendali (Dhaarma Raj Abdullah) dengan menampilkan aksi terbaik di sana.”

Abby yang bersama skuad negara sejak hujung tahun lalu, menjadi antara tiga pemain muda yang mula mendapat kepercayaan Dhaarma beraksi di pentas utama sebagai usaha menghadapi sebarang kemungkinan.

Dua pemain lagi adalah penyerang, Nur Amirah Shakirah Zulkifli dan Nur Maizatulhanim Syafi Sheik Fuad dengan kedua-dua pemain ini turut beraksi sewaktu di Singapura.

Bagaimanapun, Abby yang sedang digilap Dhaarma menjadi flicker masa depan negara mempunyai alasan terhadap keputusannya menghilangkan diri sebelum ini dengan menjadikan komitmen bersekolah di Keningau, Sabah sebab utamanya.

“Memang sebelum ini saya ada menghantar surat menarik diri daripada latihan negara. Ia berpunca daripada masalah Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) makin hampir, jadi ada pendapat yang mengatakan saya perlu memberi fokus menghadapi peperiksaan terlebih dulu.

“Pada masa sama, saya sudah mendapat tawaran untuk ditempatkan di Sekolah Sukan Bukit Jalil dan dorongan ibu membuatkan saya menarik semula surat terbabit.”

Skuad Malaysian Tigress yang berlepas ke Australia menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini, dijadual menentang Akademi Sukan Queensland (QAS) di Pusat Hoki Brisbane untuk lima perlawanan sebelum pulang ke tanah air pada 30 Julai ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here