'Ada peluang, kami pergi'

0
116
Advertisement



BEREGU muda negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menegaskan mereka bersedia sekiranya diberi peluang untuk beraksi pada temasya Sukan Asia 2018 di Jakarta dari 19 hingga 28 Ogos ini.

Terdahulu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui sedang mempertimbangkan untuk menyenaraikan pasangan ke-35 dunia itu ke Jakarta selepas mereka menunjukkan prestasi cemerlang pada Kejohanan Dunia di Nanjing, China sebelum terkandas pada suku akhir, malam tadi.

Jika BAM memutuskan untuk menghantar Aaron-Wooi Yik ke Jakarta, situasi itu menyaksikan salah satu pasangan yang disenaraikan sebelum ini – Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin kemungkinan besar digugurkan.

“Kami sentiasa bersedia untuk beraksi dalam apa jua kejohanan termasuk Sukan Asia jika diberi peluang. Namun, buat masa ini kami tidak mahu terlalu fikir mengenai perkara itu sebaliknya biar BAM yang membuat keputusan,” kata Aaron ketika dihubungi.

Perjalanan menakjubkan dilalui Aaron-Wooi Yik yang layak ke Kejohanan Dunia pada saat-saat akhir susulan penarikan diri beregu negara lain terhenti selepas tewas kepada pilihan keempat dari China, Li Junhui-Liu Yuchen 14-21, 22-24 pada suku akhir.

Walaupun terkandas pada suku akhir namun Aaron-Wooi Yik yang masing-masing berusia 21 dan 20 tahun masih boleh mendabik dada susulan prestasi luar biasa yang ditunjukkan pada penampilan pertama mereka di Kejohanan Dunia.

Kejutan demi kejutan dicipta beregu muda negara itu yang disifatkan sebagai bintang dalam pembikinan termasuk ketika menumbangkan pilihan kelapan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-18, 21-16 pada pusingan ketiga.

Bagi Aaron, mereka tidak boleh terlalu berpuas hati dengan pencapaian itu apabila menyifatkan ia sebagai permulaan dalam mengejar impian bergelar jaguh dunia dan perlu terus bekerja keras kerana sedar perjalanan masih jauh.

“Secara keseluruhan kami puas hati dengan prestasi kami pada Kejohanan Dunia kali ini kerana kami berjaya melakukan kejutan demi kejutan hingga mara ke suku akhir, sesuatu yang kami sendiri tidak jangka.

“Pada suku akhir, mungkin kami terlalu letak harapan yang tinggi hingga menjejaskan fokus kami. Set kedua kami bangkit dan semakin yakin tapi disebabkan beberapa kesilapan pukulan servis membuatkan saya sedikit hilang fokus,” kata Aaron yang menyatakan mereka akan terus ke Ho Chi Minh bagi menyertai Terbuka Vietnam bermula Selasa ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here