Ada positif, negatif

0
59
Advertisement



KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mengakui terdapat impak positif dan negatif daripada saingan Piala Dunia Wanita di London yang berlangsung ketika ini menjelang persiapannya anak buahnya ke Sukan Asia di Jakarta bermula 18 Ogos ini.

Dengan temasya sukan terbesar Asia itu akan berlangsung 15 hari lagi, Jepun, China, India serta Korea Selatan sedang beraksi di Piala Dunia ketika ini dan Dhaarma berkata, ia mungkin menjejaskan pasukan terbabit daripada sudut mental dan psikologi.

Di Sukan Asia yang menyaksikan pemenang pingat emas akan layak secara automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Malaysia di letakkan dalam Kumpulan A bersama-sama China, Jepun, Hong Kong dan Taiwan sementara Kumpulan B membabitkan Korea Selatan, India, Thailand, Kazakhstan dan Indonesia.

“Jepun dan China berada di dalam kumpulan kami di Jakarta dan meskipun mereka hanya beraksi tiga perlawanan ketika di Piala Dunia dan tidak layak ke suku akhir, kedua-dua pasukan ini pasti masih berasa kepenatan beraksi di saingan peringkat tertinggi dan kemudian selama beberapa hari terpaksa pula terbang ke Indonesia.

“Ini mungkin akan menjejaskan barisan pemain mereka yang berdepan tekanan melakukan persiapan ke Piala Dunia dan kemudian gagal memenuhi sasaran ditetapkan.

“Ia pasti sukar untuk setiap pemain menghadapi situasi ini dan cuba untuk bangkit semula di Sukan Asia,” katanya.

Malaysia perlu menewaskan sama ada Jepun atau China dengan anak buah Dhaarma dilihat tidak berdepan masalah untuk menewaskan Hong Kong dan Taiwan.

“Saya percaya barisan pemain saya dapat meraih tiga mata penuh apabila bertemu Hong Kong dan Taiwan. Jika kami dapat menewaskan sama ada Jepun atau China, kami pasti akan layak ke separuh akhir,” katanya.

Bagaimanapun perkara yang positif membabitkan Jepun dan China ialah kedua-dua pasukan itu melalui perlawanan berkualiti di London menjelang persiapan ke Sukan Asia.

“Mereka beraksi dengan antara pasukan terbaik di dunia dan ia mungkin memberi kelebihan kepada jurulatih untuk melakukan persiapan lebih rapi,” kata Dhaarma.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here