Adakah pelancaran hijab boleh Islamkan entiti kelab malam, soal pensyarah

0
461
Advertisement

KUALA LUMPUR: Alasan tema dan kos penajaan murah yang diberi Neelofa selepas mengadakan majlis pelancaran hijab di Zouk malam tadi disifatkan seorang ahli akademik sebagai amat menyedihkan.

Pensyarah Prof Madya Rafidah Hanim Mokhtar berkata, pelakon dan pengacara terkenal itu sebenarnya boleh memilih lokasi lain yang lebih sederhana kosnya, selain lebih mulia, berbanding kelab malam.

“Adakah difikirkan pelancaran hijab itu, boleh mengIslamkan entiti kelab malam seperti Zouk atau¬†sebenarnya normalisasi yang sedang berjalan bahawa wanita Muslim yang bertudung juga sudah bebas boleh mengunjungi kelab malam?¬†

“Alasan yang diberikan adalah tema dan kos penajaaan yang murah? Bukankah terlalu banyak tempat lain yang boleh dipilih yang lebih sederhana kosnya? Yang lebih mulia?”

Rafidah yang juga Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq) menulis kenyataan itu di laman Facebook miliknya hari ini.

Kesal dengan apa yang terjadi, beliau berkata, “Betapa jauhnya wanita Muslim kini dari prinsip dan falsafah sebenar kita memakai hijab.

“Hijab adalah identiti yang berkembar rapat dengan taqwa, identiti kita sebagai wanita Muslim, yang sepatutnya menjauhi tempat-tempat maksiat, seperti kelab malam.”

Beliau yang jelas tidak setuju dengan alasan diberi Neelofa berkata, apatah lagi, kelab malam tersebut pernah mengundang berbagai kontroversi kerana penangkapan artis Islam yang minum arak, serta pertandingan ratu cantik melibatkan peserta Muslim suatu masa dahulu.

“Betul, jangan difikirkan kata-kata orang, namun mohon Neelofa rujuklah semula ayat-ayat al-Quran berkenaan hijab dan menghayati semula pesanan Allah.

“Semoga Allah melindungi kita dari fitnah akhir zaman ini,” katanya mengulas pendirian Neelofa yang mengatakan dia tidak peduli dengan kecaman masyarakat kerana dia tahu apa yang dilakukannya.

Tindakan Neelofa menjadikan Zouk sebagai lokasi pelancaran koleksi hijab terbaharunya mengundang persoalan dalam kalangan netizen.

Koleksi hijab Be Lofa di bawah jenama Naelofar Hijab itu dilancarkan serentak dengan majlis sambutan hari jadi Neelofa yang ke-29, di kelab malam itu.

Dalam pada itu tegas Rafidah, Allah sudah mengingatkan di dalam ayat al-Quran agar wanita Muslim menutup seluruh tubuh dan tidak menampakkan anggota tubuh sedikit pun, selain yang dikecualikan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here