Adam atau Ayumu?

0
221
Advertisement



NASIB Adam Norrodin bersama pasukan PETRONAS Sprinta Racing bagi musim depan terletak kepada prestasinya di separuh musim kedua Moto3 yang bermula di Grand Prix (GP) Republik Czech, hujung minggu ini.

Selain Adam, seorang lagi pelumbanya, Ayumu Sasaki juga harus bekerja keras memburu penamat terbaik pada baki 10 pusingan musim ini jika mahu mengekalkan slot di dalam pasukan.

Berdasarkan sumber rapat Litar Antarabangsa Sepang (SIC), pasukan sudah pun menandatangani seorang pelumba dari Eropah dan ini menandakan Adam serta Sasaki perlu bersaing antara mereka bagi merebut satu lagi slot yang ada.

“Ini sedikit rumit. Ramai yang menjangkakan Adam akan ke Moto2 tetapi jawapannya tidak dan ada juga spekulasi mengatakan dia disambung dalam kelas sama (Moto3) musim depan… itu juga menjadi tanda persoalan.

“Namun, ada rasa tidak puas hati berhubung prestasinya terutama ketika melakukan kesilapan seperti di GP Belanda yang tidak seharusnya dilakukan oleh seorang pelumba yang sudah mempunyai pengalaman.

“Bermula daripada situ, timbul keputusan – seorang daripada mereka tidak akan disambung (untuk musim depan). Pasukan juga sudah menandatangani seorang pelumba dari Eropah untuk musim depan.

“Jadi, peluang untuk mereka ketika ini adalah mengambil peluang pada baki pusingan musim ini dan mereka perlu bersaing antara sama sendiri bagi mempamerkan prestasi seperti diinginkan pasukan,” kata sumber.

Bagi saingan Moto2, sumber juga memaklumkan pasukan SIC Racing Team yang mungkin bernaung di bawah satu nama bersama pasukan Moto3 negara, sudah pun mengikat pelumba tempatan bagi menggantikan wakil sedia ada, Niki Tuuli.

“Saya boleh mengesahkan yang dia adalah pelumba dari Malaysia. Namanya masih belum boleh diumumkan tetapi yang boleh diperkatakan, pelumba itu mungkin yang sedang beraksi di Moto2 ataupun yang juga di luar kejuaraan dunia seperti Seluruh Jepun ataupun Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC),” katanya.

Ketika ini, wakil tunggal negara yang beraksi di Moto2 adalah pelumba IDEMITSU Honda Team Asia, Khairul Idham Pawi, manakala Zaqhwan Zaidi beraksi di Seluruh Jepun.

Dalam saingan ARRC, selain Zaqhwan turut menyertai kejuaraan itu ialah Azlan Shah Kamaruzaman, Azroy Hakeem Anuar, Ramdan Rosli, Kasma Daniel Kasmayudin, Amirul Hafiq Azmi dan Muhammad Ibrahim Norrodin.

Difahamkan, pengumuman penuh mengenai pasukan sulung MotoGP negara bakal berlangsung di litar Silverstone, Great Britain pada 24 hingga 26 Ogos ini akan turut mengumumkan senarai penuh pelumba yang beraksi di dalam kelas Moto2 dan Moto3.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here