Adam buru 10 terbaik di Brno

0
263
Advertisement



PELUMBA Moto3 negara, Adam Norrodin mengharapkan peralatan baharu yang bakal diberikan pengeluar Honda bermula di Grand Prix (GP) Republik Czech hujung minggu ini dapat membantunya mengharungi baki musim 2018.

Selepas separuh musim pertama berakhir di GP Jerman 15 Julai lalu, Adam menyimpulkan prestasinya sebagai ‘ada turun dan naik’ dan antara puncanya kerana pesaing Honda, KTM lebih banyak membekalkan peralatan kepada pelumba di bawah pengeluar berkenaan.

“Di Brno nanti (GP Republik Czech), pasukan kami mungkin dibekalkan peralatan baharu,” kata Adam yang kini berada di tangga ke-19 keseluruhan dengan 24 mata selepas sembilan perlumbaan.

“Pada awal musim, kami agak bergelut tetapi syukur dalam beberapa perlumbaan kami dapat memberikan saingan (kepada KTM). Pada perlumbaan akan datang, mereka (Honda) akan membekalkan peralatan baharu kepada kami dan saya harap dapat kembali bersaing dengan lebih konsisten dan kuat.”

Pada perlumbaan di Sachsenring dua minggu lalu, Adam yang memasuki tahun ketiganya dalam kelas Moto3 itu menamatkan saingan di tempat ke-11 untuk meraih lima mata berharga.

“Saya ingin kembali meraih penamat di dalam kelompok 10 terbaik bermula di Brno nanti. Apa yang saya nampak, potensi untuk berada di dalam kelompok 10 terbaik itu ada tetapi hanya sedikit kesilapan menghalang untuk saya berada di sana.

“Saya mempunyai keyakinan yang kuat untuk berada di dalam kelompok itu dan saya akan terus mencuba,” kata pelumba berusia 20 tahun itu.

Info

Keputusan diraih Adam di separuh musim 2018

GP Qatar – ke-11

GP Argentina – kelima

GP Amerika Syarikat – DNF

GP Sepanyol – ke-16

GP Perancis – DNF

GP Itali – DNF

GP Catalunya – ke-13

GP Belanda – ke-21

GP Jerman – ke-11

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here